PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberi amaran bahawa Umno kini berada di persimpangan jalan dan mungkin terkubur jika gagal melaksanakan perubahan berani.
Dalam ucapan dasar terakhirnya sebagai Presiden Umno di Perhimpunan Agung parti itu semalam, Datuk Seri Abdullah berkata semakin ramai anggota Umno yang menyertai parti itu kerana mengharapkan projek, gelaran dan kepuasan duniawi.
'Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini,' tegasnya kepada 2,519 perwakilan yang bersidang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Datuk Seri Abdullah menggesa agar anggota Umno hidupkan kembali semangat berkorban, dedikasi, kesederhanaan dan semangat berkhidmat.
'Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul - yang merasakan diri kita sahaja yang pandai, jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu,' katanya.
Dalam ucapannya yang bertajuk 'Masa depan dan survival parti', Datuk Seri Abdullah antara lain menyarankan agar Umno menetapkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan dalam parti sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan Umno.
Umno turut digesa beliau agar tidak mengamalkan fahaman ekstremis kaum dan agama serta bersifat perkauman kepada warga Malaysia bukan Melayu.
Datuk Seri Abdullah, 66 tahun, yang tidak mempertahan jawatan Presiden Umno, menyerahkan teraju parti itu kepada Datuk Seri Najib semalam.
Beliau tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya.
Sebelum ini, Dr Mahathir lantang membidas Datuk Seri Abdullah yang didakwa gagal mentadbirkan negara dengan baik, termasuk tindakan beliau membatalkan projek jambatan bengkok bagi menggantikan Koswe.
Seakan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, Datuk Seri Abdullah dengan penuh rendah diri semalam berkata:
'Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya mengakui bahawa saya tidak sepi dari melakukan kesilapan. Saya juga mungkin tidak dapat memenuhi semua perkara yang pernah saya janjikan. Walau apa pun kesilapan - walau apa pun kekurangan yang telah berlaku, adalah tekad saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga dan negara ini.'
Beliau turut memohon maaf ke atas kelemahannya sebagai 'insan yang tidak sempurna' sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003.
Sesuai dengan latar belakangnya yang berasal daripada keluarga ulama, ucapan Datuk Seri Abdullah diselitkan dengan beberapa ayat suci Al-Quran.
Dengan kemelut politik yang melanda Malaysia sekarang, Datuk Seri Abdullah meninggalkan pesanan terakhir yang begitu bermakna dengan memetik surah Al-Fatir, ayat-10 yang bermaksud:
'Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), akan beroleh azab yang berat. Rancangan jahat mereka akan rosak binasa.'
Friday, March 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment