Pages

Tuesday, March 31, 2009

SYRIA GESA LIGA ARAB TOLAK WARAN TANGKAP KE ATAS PRESIDEN SUDAN

DOHA: Pemimpin dunia Arab semalam memulakan sidang puncak tahunan mereka di Qatar, yang turut dihadiri Presiden Sudan, Encik Omar al-Beshir, yang dituduh melalukan jenayah perang di Darfur oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bagaimanapun, pemulauan sidang puncak dua hari itu oleh Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, memalapkan harapan bagi meredakan ketegangan antara beberapa pemimpin Liga Arab.

Seramai 17 ketua negara dari 22 negara anggota Liga Arab, dan Perdana Menteri Iraq, Encik Nouri al-Maliki, hadir semasa ucapan perasmian oleh Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.

Encik Assad menggesa para pemimpin Arab itu supaya menolak waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Encik Beshir berhubung konflik di Darfur.

Beliau berkata juga perdamaian antara dunia Arab dan Israel tidak boleh dicapai tanpa kesediaan pemimpin Israel.

'Israel yang membunuh inisiatif, bukan sidang puncak Doha,' kata beliau merujuk kepada inisiatif damai Arab 2002.

Pelan damai itu menawarkan pemulihan hubungan dengan Israel sebagai tukar ganti bagi pengunduran tentera Israel dari semua wilayah Arab yang ditawa dalam Perang Arab-Israel 1967.

Sesetengah pemimpin Arab yang bermesyuarat di Doha Januari lalu menggesa agar ditarik balik pelan damai itu selepas serangan Israel ke atas Gaza.

Encik Beshir diberi sambutan hangat di Doha, menggambarkan sokongan dunia Arab terhadapnya selepas ICC mengeluarkan waran tangkap ke atasnya pada 4 Mac lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, turut menghadiri sidang itu meskipun ia dihadiri sama oleh Encik Beshir.

'Sudan sebuah negara anggota PBB, sedangkan ICC sebuah badan kehakiman bebas. Ini tidak menghalang PBB berurusan dengan Sudan,' kata seorang pegawai PBB kepada AFP.

Sabtu lalu, para menteri luar negara-negara Arab meluluskan satu deklarasi menggesa ICC menghentikan semua prosiding terhadap Encik Beshir dan menggesa semua negara Arab menolak keputusan ICC. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini