Pages

Tuesday, March 31, 2009

GERILA ABU SAYYAF UGUT BUNUH TEBUSAN HARI INI

MANILA: Gerila Abu Sayyaf yang menahan tiga pekerja Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata mereka akan memenggal kepala seorang tebusan 2 petang ini jika askar Filipina tidak berundur dari seluruh Pulau Jolo, di selatan Filipina, menurut seorang pegawai pemerintah semalam.

Panglima Abu Sayyaf, Albader Parad, mengancam akan memenggal kepala seorang daripada tiga tebusan warga Switzerland, Italy dan Filipina itu pada waktu setempat kecuali polis dan askar berundur dari 15 kampung di Pulau Jolo dalam masa 24 jam, kata Setiausaha Dalam Negeri, Encik Ronaldo Puno.

Tuntutan baru itu disampaikan lewat kelmarin, hanya beberapa jam selepas askar dan polis Filipina berundur dari hutan tempat mereka mengepung 120 gerila Abu Sayyaf dan tiga tebusan itu, kata Encik Puno.

Pengunduran itu membolehkan Abu Sayyaf menguasai lima bandar dan kawasan seluas 140 kilometer persegi di pulau tersebut, kata beliau.

Tetapi Abu Sayyaf kini mahu semua pasukan keselamatan meninggalkan pangkalan mereka dan membiarkan setengah juta penduduk 'tanpa sebarang perlindungan.'

'Tuntutan mereka malam tadi mustahil dapat kami penuhi,' kata Encik Puno dalam satu sidang akhbar .

Namun, pihak berkuasa akan mencari jalan untuk menyelamatkan tebusan 'hingga saat akhir', ujarnya.

Gerila Abu Sayyaf menculik Cik Mary Jean Lacaba dari Filipina, Cik Andreas Notter dari Switzerland dan Cik Eugenio Vagni dari Italy ketika mereka menjalankan misi kemanusiaan pada 15 Januari lalu.

Gabenor Jolo, Encik Abdusakur Tan, awal semalam berkata pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur lagi.

'Kami sudah lakukan apa yang kami mampu. Saya tidak tahu sama ada terdapat tolak ansur lain selain berundur dari seluruh pulau ini. Kami berharap mereka tidak melaksanakan ancaman mereka esok,' katanya.

Jurucakap Presiden Gloria Arroyo, Encik Cerge Remonde, juga berharap 'penyamun itu ada peri kemanusiaan dan membebaskan tebusan'. -- AP, AFP, Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini