Pages

Tuesday, March 31, 2009

MILITAN SERANG AKADEMI POLIS PAKISTAN

ISLAMABAD: Pasukan keselamatan Pakistan semalam menumpaskan kumpulan militan yang menyerang sebuah akademi polis di Manawan, Lahore, selepas pertempuran sengit mengorbankan 25 orang dan mencederakan 90 yang lain.

'Empat pengganas dibunuh. Beberapa lagi ditangkap. Kami sedang menyoal siasat seorang penyerang yang bertutur bahasa Pasjtu,' kata Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Encik Rehman Malik, seperti ditukil Geo TV.

Beliau mengesyaki serangan dilakukan kumpulan militan Pakistan, termasuk Lashkar-e Jhangvi, Lashkar-e-Taiba dan Jaish-e-Mohammad.

Sorotan televisyen menunjukkan polis yang kegirangan memekik 'Allahu Akbar' dan melepaskan tembakan ke udara sebaik saja operasi komando berakhir.

Gabenor Punjab, Encik Salman Taseer, berkata lapan hingga 10 penyerang terlibat, tetapi pegawai lain berkata jumlahnya 12 orang.

Stesen televisyen Geo TV menukil pihak polis sebagai berkata 25 orang terbunuh dan 90 cedera dalam serangan itu.

Seorang pegawai polis yang cedera berkata serangan berlaku ketika rekrut polis melakukan kawat sekitar 7.30 pagi.

'Sebutir bom tangan mengenai platun dekat kami, disusuli tembakan selama 20 minit,' kata beliau.

Mereka berbalas tembakan dengan polis dan askar selama lapan jam.

'Kami diserang dengan bom. Asap tebal menyelebungi kami. Kami semua lari lintang pukang,' kata seorang lagi polis yang cedera, Encik Mohammad Asif.

Sorotan televisyen menunjukkan mayat polis tertiarap atas tanah. Ada pegawai merangkak keluar lewat mayat rakan mereka yang terbujur.

Sejurus sebelum 4 petang pasukan komando melancar operasi untuk merampas semula bangunan akademi, kata Mejar Jeneral Shafqaat Ali.

'Pasukan kami menyerbu tingkat atas tempat mereka berkubu. Operasi berakhir dan bangunan dapat kami kuasai,' kata beliau.

Seorang lagi pegawai polis, Encik Babar Baluch, berkata: 'Lima penyerang terbunuh dalam operasi. Tiga lagi meletupkan diri.'

Terdapat laporan bahawa ada mangsa dijadikan tebusan, tetapi ini belum dapat disahkan. -- AP, AFP, Reuters.


No comments:

Posting Terkini