Pages

Wednesday, March 11, 2009

Kemukakan Bukti Jika Datuk Bandar dan YDP PBT Enggan Kerjasama

Kerajaan negeri akan bertindak secara adil dan menyiasat aduan yang mengatakan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan (PBT) enggan memberi kerjasama kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen dan Ahli Majlis PBT.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata secara keseluruhannya Datuk Bandar dan YDP telah memberikan kerjasama dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata pretasi mereka sentiasa dipantau melalui mesyuarat berkala setiap bulan yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

“Kita menggalakkan ahli-ahli Yang Berhormat kemukakan aduan sama ada secara bertulis atau lisan dan ada baiknya mengemukakan bukti yang jelas agar kerajaan tempatan dapat diuruskan dengan baik dan sempurna,” katanya ketika menjawab pertanyaan Dr Mohd Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 pagi tadi.

Abdul Khalid berkata dalam masa sama kerajaan negeri akan membuat kajian semula tentang keberkesanan pentadbiran Datuk Bandar dan YDP.

Katanya, kertas penyelidikan mengenai perkara itu sudah mula dikumpul.

“Saya jangkakan sebelum akhir bulan Mei kita akan kemukakan beberapa keputusan dari segi bagaimana pentadbiran Ahli Majlis dan pemantauan atas usaha-usaha yang dijalankan oleh Datuk Bandar dan YDP,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata satu penyelidikan akan dibuat bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan mengenai rancangan memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kajian dan Penyelidikan telah memperuntukkan RM20,000 bagi penyelidikan itu yang dijangka selesai pada penghujung Mac ini.

No comments:

Posting Terkini