Pages

Wednesday, March 11, 2009

‘Jadikan Sungai Klang Satu Kelebihan Untuk Negeri’

SHAH ALAM, 10 Mac - Projek pembersihan Sungai Klang mampu menjana pembangunan hartanah dan mengurangkan beban pengangkutan, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda yang merasmikan pembukaan persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 pagi tadi bertitah Sungai Klang mampu menjadi kelebihan utama kepada negeri ini dengan mengambil sikap positif dan ketegasan undang-undang.

Menurut baginda, walaupun projek itu mungkin memakan masa 10 hingga 20 tahun, ia tidak mustahil untuk direalisasikan.

“Sudah tiba masanya kini kerajaan negeri memikirkan secara serius bagi membersihkan Sungai Klang, yang meliputi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” titahnya.

Baginda bertitah selain dapat membantu meningkatkan industri pelancongan, Sungai Klang yang bersih juga mampu mempertingkatkan mutu alam sekitar sungai.

Dalam pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menyentuh betapa pentingnya sebuah rombakan menyeluruh bagi sistem pengangkutan awam dipertimbangkan.

Titah baginda, sebuah task force pengangkutan awam mungkin boleh dibentuk bagi memperbaiki perancangan dan operasi pengangkutan awam di negeri ini.

Menurut baginda, penambahbaikan dalam sistem pengangkutan sangat penting khasnya pengangkutan perbandaran yang bermasalah dan menjejaskan kualiti hidup rakyat khususnya di Lembah Klang.

“Beta mahu kita mengurangkan kadar pengangkutan awam-persendirian daripada 10-90 sekarang kepada 50-50, dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam,” titahnya.

Baginda berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat bekerjasama bagi menjadikan sistem pengangkutan awam lebih efisien.

Tambah baginda, salah satu matlamat yang boleh dipertimbangkan ialah melahirkan ‘Modul Pengangkutan Satu Jam’ di mana setiap tempat di Selangor boleh dicapai dalam masa satu jam.

Dalam hal ini titah baginda, pengangkutan awam yang merangkumi bas, rel dan teksi perlu diintegrasikan.

Baginda berharap semua pihak seperti profesional, ahli akademik, pengendali bas dan pengguna dapat dilibatkan dalam proses menambahbaik sistem pengangkutan awam ini.

Kerajaan negeri Selangor pada 4 Mac lalu mengumumkan lima bidang yang telah dikenalpasti untuk merangsang ekonomi Selangor.

Lima bidang berkenaan termasuklah pemulihan dan pembersihan Sungai Klang dan perluasan sistem pengangkutan di seluruh Selangor yang dijangka mampu mencipta peluang pelaburan melebihi RM50 bilion

No comments:

Posting Terkini