Pages

Monday, February 2, 2009

RM25 juta umpan BN pikat ADUN Pakatan?

UMPAN?... Ketua PKR Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda (kanan) menunjukkan surat akuan bersumpah mendakwa ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan ditawarkan ganjaran RM25 juta seorang untuk menyertai Barisan Nasional. Bersama beliau ialah Pengerusi PKR Perak Osman Abdul Rahman (tengah) dan ADUN Teja, Chang Lih Kang. - foto The Star oleh LEW YONG KAN

IPOH: Barisan Nasional (BN) umpan RM25 juta untuk memancing setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN dan Parlimen Pakatan Rakyat supaya melompat ke parti gabungan itu?

Begitulah dakwaan seorang ketua bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini bahawa jumlah tersebut ditawarkan oleh BN selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian, dakwaan itu tidak logik kerana lebih baik BN menggunakan wang yang besar jumlahnya itu untuk projek yang membawa faedah dan manfaat kepada rakyat, terutama projek pembangunan yang akan memberi kelebihan kepada parti gabungan itu daripada membeli dua ADUN PR.

"Kenapa perlu menghabiskan RM50 juta untuk dua orang wakil rakyat? Ia perkara yang tidak rasional dan merupakan satu tuduhan liar oleh Pakatan terhadap BN, dan jika BN membuat tawaran sedemikian, ia memberikan imej negatif kepada parti gabungan itu," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas dakwaan pemimpin PKR itu.

Ketua PKR Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda dalam surat akuan bersumpah yang dibuatnya di hadapan pesuruhjaya sumpah Yong Yoke Thye di sini hari ini mendakwa beliau menerima tawaran daripada BN sebanyak RM50 juta untuk membawa masuk sekurangkurangnya dua ADUN dari Perak, terutama daripada PKR untuk menyertai Umno atau menjadi wakil bebas selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Fauzi turut mendakwa baru-baru ini ditawarkan pula RM5 juta untuk dirinya serta RM5 juta seorang untuk mendapatkan keduadua Exco kerajaan Negeri Perak daripada PKR iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) supaya melompat parti.

Beliau mendakwa kononnya BN turut berjanji akan menggugurkan tuduhan rasuah ke atas Mohd Osman dan Jamaluddin iaitu dakwaan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Perbicaraan kes rasuah mereka akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari bermula 10 Februari ini.

Fauzi mendakwa BN turut berjanji bahawa Jamaluddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi, Pertanian dan Perladangan serta Mohd Osman, yang juga Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, akan dikekalkan sebagai Exco negeri jika BN memerintah semula di Perak.

Bagi Sivamurugan Pandian, tuduhan liar sedemikian akan hanya memberi kesan negatif kepada Pakatan jika ia terbukti tidak benar, selain turut menjejaskan kewibawaan Pakatan di mata rakyat.

"Dakwaan PR itu menunjukkan mereka tidak bersedia untuk menerima hakikat bahawa dalam kelompok mereka sendiri ada yang ingin berubah parti.

"Tindakan membangkitkan tawaran RM50 juta itu seolah-olah ingin mengalihkan perhatian daripada isu kalangan mereka yang ingin melompat ke dalam BN," katanya.

Beliau berkata, yang menghairankan ialah PR mewujudkan pelbagai dakwaan apabila ada kalangan ADUN mereka ingin melompat ke dalam BN tetapi tidak pula membuat pelbagai dakwaan apabila ada ADUN BN yang menyertai PR.

"Pembangkang harus terima hakikat bahawa jika mereka boleh menarik ADUN BN menyertai mereka maka BN pun boleh juga menarik ADUN PR menyertai BN.

"Pakatan harus beretika dalam menampilkan isuisu yang sebenarnya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi mereka," katanya.

Sementara itu, seorang pemerhati politik yang tidak mahu namanya disebut berkata dakwaan kononnya dua ADUN itu sanggup melompat parti setelah ditawarkan RM5 juta tidak logik berbanding sebelum ini yang tawarannya dikatakan berpuluh juta.

"Kenapa kedua-dua ADUN PKR itu tidak melompat semasa baru-baru memenangi kerusi DUN dengan jumlah mencecah lebih RM20 juta, kenapa sekarang dengan hanya RM5 juta, terutama setelah menjawat jawatan Exco?", katanya.

Bagi Sivamurugan Pandian, dakwaan yang dibuat oleh pemimpin PKR itu memperlihatkan "ketidakmatangan mereka dalam berpolitik" dan tindakan menggunakan surat akuan bersumpah memperlihatkan "kerakusan mereka berpolitik sehingga sanggup membelakangkan etika surat akuan bersumpah itu."

Dakwaan PKR kononnya BN membuat tawaran membeli dua Exco kerajaan negeri itu timbul ekoran kontroversi kedudukan Jamaluddin dan Mohd Osman sebagai ADUN daripada PKR.

Kedua-dua mereka yang tidak dapat dihubungi sejak minggu lepas telah menimbulkan kebimbangan kerajaan negeri Pakatan di Perak, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar mendakwa beliau menerima surat peletakan jawatan daripada kedua-dua mereka melalu faks petang semalam.

Walaupun kedua-dua Exco itu muncul malam semalam untuk menafikan dakwaan yang mereka telah menghantar surat peletakan jawatan itu, Sivakumar tetap menyerahkan surat secara rasmi kepada pejabat Pilihan Raya Negeri Perak hari ini bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.

Malah Mohd Osman, melalui wakilnya, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 hari ini bagi menafikan telah mengosongkan kerusi yang diwakilinya itu.

Kedua-dua mereka dilaporkan berbincang dengan peguam masing-masing untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Bagi kerajaan Pakatan di Perak, kedudukan mereka kini semakin meruncing kerana perbezaan kerusi antara pakatan itu dengan BN adalah kecil, dan tindakan anggotanya melompat parti akan menggugat kedudukan pakatan berkenaan.

Ketika ini, Pakatan di Perak mempunyai 32 Adun termasuk ADUN kawasan Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN pula diwakili 27 ADUN.

Esok, SPR akan berbincang mengenai kedudukan Jamaluddin serta Mohd Osman dan Pakatan di Perak kini mula bersiap sedia berhadapan dengan kemungkinan diadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi DUN itu.

Para pemimpin Pakatan termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din hari ini mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikatakan antara lain berbincang mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

Bagi penduduk Perak, kontroversi ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan pada masa ini. BERNAMA


No comments:

Posting Terkini