Pages

Tuesday, February 3, 2009

KUMPULAN ISLAM TEGAR INDONESIA GESA DIHARAM KELAB ROTARY, LIONS

JAKARTA: Sebuah kumpulan Islam tegar di Indonesia menggesa agar dua persatuan antarabangsa, Kelab Rotary dan Kelab Lions, diharamkan, dengan mendakwa kedua-duanya terlibat dalam konspirasi golongan Zionis.

Forum Ulama Umat (FUU) berkata dua persatuan itu topeng bagi gerakan Zionis dan Masuni (Freemason), lantas membawa ancaman kepada ajaran Islam di Indonesia.

Akhbar The Jakarta Globe menukil pengerusi FUU, Encik Atian Ali Mohammad Da'i, sebagai berkata: 'Mereka mengumpul dana dan memberinya kepada Amerika dan Zionis Israel. Kami menggesa semua penganut Islam agar membubarkan keanggotaan mereka dalam Kelab Rotary dan Kelab Lions. Jika tidak, mereka boleh dianggap sebagai kafir.'

Beliau turut menggesa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono agar mengharamkan dua persatuan itu.

FUU sebuah kumpulan Islam sangat konservatif yang telah menggunakan kekerasan untuk menghentikan aktiviti dakwah Kristian. Pada 2002, ia mengeluarkan fatwa menjatuhi hukuman mati ke atas seorang ulama yang mengkritik golongan Islam konservatif, lapor akhbar itu.

Sementara itu, Encik Raja Juli Antony daripada Institut Maarif, sebuah badan Islam sederhana, berkata tiada bukti Kelab Rotary atau Kelab Lions membawa ancaman kepada Islam.

Beliau memberitahu akhbar The Jakarta Post, dua persatuan itu telah memberi sumbangan positif kepada pembangunan Indonesia melalui kerja-kerja kebajikan yang dijalankan.

Seorang anggota kanan Majlis Ulama Indonesia, badan Islam tertinggi di Indonesia, berkata majlis itu tidak akan mengeluarkan fatwa berkaitan dua persatuan tersebut.

Dua persatuan itu ditubuhkan awal 1900-an dan mendakwa mempunyai 2.5 juta anggota di serata dunia. Kedua-duanya diharam di Indonesia pada 1962 atas sebab-sebab nasionalis tetapi dibenarkan dibuka semula pada 2000. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini