SEOUL: Korea Utara membidas para pengkritik yang memberi amaran supaya ia tidak melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauhnya dan berkata ia akan menghukum mereka yang cuba menggagalkan pelancaran satelitnya ke angkasa lepas.
Kenyataan tegar itu dibuat kelmarin sewaktu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, mengumumkan rancangan menghantar duta khas baru mengenai Korea Utara, Encik Stephen Bosworth, bagi meyakinkan Pyongyang membatalkan rancangan hendak menguji peluru berpandu jarak jauh dan menyambung rundingan perlucutan senjata nuklear.
Akhbar Chosun Ilbo, yang menukil sumber pemerintah, berkata Korea Utara telah menguji radar, peralatan pemantau dan kawalan di tapak pelancaran roket Musudan-ri.
'Korea Utara nampaknya sudah memulakan persiapan bagi satu pelancaran,' lapor akhbar itu.
Korea Utara mengumumkan awal minggu ini ia sedang bersiap melancarkan satelit komunikasi sebagai sebahagian program angkasa lepasnya.
Seoul dan Washington berkata pelancaran satelit itu mungkin helah Pyongyang menguji peluru berpandu Taepodong-2 yang boleh mengena sasaran di Alaska. Menurut mereka, pelancaran roket bagi sebarang tujuan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengundang sekatan antarabangsa.
Pyongyang tidak mengendahkan amaran antarabangsa, malah bertekad meneruskan pelancaran satelit itu, tetapi tidak memberi sebarang tarikh.
'Kami akan lancarkan sebuah satelit seperti yang dirancang,' kata Encik Kim Myong-Gil, duta Korea Utara ke PBB, kepada para pemberita di Atlanta.
'Melancar satelit adalah sebahagian hak kedaulatan kami dan ia tidak boleh digugat,' tegas Encik Kim. -- AP, AFP, Reuters.
Saturday, February 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment