KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan. Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.
"Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara.
"Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.
"Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan," titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan.
Baginda mengingatkan anggota Dewan supaya menunjukkan perilaku terpuji di Parlimen.
Justeru, baginda mengingatkan rasa sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan wakil rakyat pada sesi lalu yang memberi imej negatif kepada ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Tuanku Mizan turut menitikberatkan mengenai pendidikan awal dan menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal.
"Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang," titah baginda.
Baginda turut memuji tindakan tepat kerajaan yang mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari lepas bagi mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
"Kerajaan Beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negaranegara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
"Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza," titah Seri Paduka.
Tuanku Mizan bertitah penghantaran bantuan perubatan serta sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyerlahkan lagi keprihatinan negara terhadap keamanan dan keselamatan sejagat amnya serta nasib rakyat Palestin khasnya.
Di akhir titah ucapan itu, Seri Paduka merakamkan penghargaan kepada anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, polis serta seluruh rakyat jelata yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan keselamatan negara yang dicintai.
"Semua pihak hendaklah terus meningkatkan usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global.
"Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya," titah baginda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment