Pages

Wednesday, February 18, 2009

EKSPORT S'PURA JUNAM 35% BULAN LALU, TERBURUK DALAM SEJARAH

EKSPORT utama Singapura merosot sebanyak 35 peratus bulan lalu, yang terbesar sejak pemerintah mengeluarkan perangkaan bulanan itu pada 1977.

Ia juga mengatasi kemerosotan semasa serangan pengganas 9/11 pada September 2001 apabila Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (NODX) susut sebanyak 30.7 peratus.

NODX merosot sebanyak 34.8 peratus bulan lalu, daripada kemerosotan sebanyak 21 peratus pada Disember, menurut International Enterprise (IE) Singapore.

Namun, kemerosotan itu sejajar dengan kemerosotan purata sebanyak 32.7 peratus yang diramalkan para pengamat.

Eksport elektronik dan bukan elektronik merosot pada kadar lebih pantas bulan lalu daripada Disember tahun lalu.

Elektronik, yang menyumbang 40 peratus daripada NODX, susut sebanyak 38 peratus disebabkan kemerosotan pemacu cakera, peralatan komputer peribadi (PC) dan litar bersepadu (IC).

Eksport bukan elektronik juga merosot sebanyak 32 peratus bulan lalu daripada kemerosotan sebanyak 17 peratus pada Disember lalu ekoran kemerosotan eksport petrokimia, media cakera dan kimia.

NODX ke semua 10 pasaran eksport Singapura merosot, dengan kemerosotan terbesar adalah ke Amerika Syarikat, China dan Malaysia.

Paling buruk ialah NODX ke China yang menjunam sebanyak 52 peratus, jauh lebih besar daripada kemerosotan sebanyak 2.9 peratus pada Disember. Kiriman peralatan PC, pemacu cakera dan IC ke China susut sebanyak 48 hingga 71 peratus.

NODX ke Amerika turut susut sebanyak 50 peratus kerana kiriman eksport lebih rendah bagi peralatan telekomunikasi (-83 peratus), farmaseutikal (-79 peratus), petrokimia (-74 peratus) dan peralatan PC (- 47 peratus).

Eksport ke Malaysia juga susut sebanyak 40 peratus ekoran kemerosotan IC (-72 peratus), peralatan PC (-30 peratus) dan petrokimia (-70 peratus).

'Eksport elektronik dan bukan elektronik merosot agak teruk bulan lalu, menggambarkan permintaan luar negara yang runtuh dan kesan akibat Tahun Baru Cina yang jatuh pada bulan lalu.

'Kami jangkakan kemelesetan sejagat akan mencapai paras terburuk pada separuh tahun pertama tahun ini. Sebarang pemulihan eksport dijangka disaksikan beberapa bulan terakhir tahun ini,'ramal Pakar Ekonomi Standard Chartered, Encik Alvin Liew.

Pakar Ekonomi CIMB, Encik Song Seng Wun, berkata kemerosotan NODX dialami Singapura 'adalah amat buruk tetapi adalah sejajar dengan perangkaan NODX di China, Jepun dan Korea'.

Kemerosotan NODX menjejas ekonomi Singapura yang sudah pun jatuh dalam kemelesetan. Pemerintah meramalkan ekonomi tumbuh -2 dengan -5 peratus tahun ini setelah tumbuh sebanyak 1.2 peratus tahun lalu.

Pakar Ekonomi Kanan HSBC, Encik Robert Prior-Wandersforde, 'menjamin' Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) akan mencerut buat lima bulan berturut-turut dalam suku pertama tahun ini sekiranya eksport mendatar pada bulan ini dan Mac.

No comments:

Posting Terkini