Pages

Wednesday, February 18, 2009

KAPAL SELAM NUKLEAR BRITAIN DAN PERANCIS BERLANGGAR DI ATLANTIK

LONDON: Dalam satu kemalangan luar biasa, dua kapal selam yang membawa senjata nuklear, satu milik Perancis dan satu lagi milik Britain, bertembung di dasar laut semasa membuat rondaan di Lautan Atlantik awal bulan ini, menurut para pegawai kelmarin.

Mereka berkata kelajuan yang rendah menyebabkan tiada kerosakan reaktor nuklear, peluru berpandu atau berlaku kebocoran radiasi.

Kedua-dua kapal selam rosak tetapi dapat kembali ke pelabuhan negara masing-masing dengan selamat.

Seramai 250 kru kapal juga tidak cedera kata kementerian pertahanan kedua-dua negara dalam satu kenyataan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Namun pakar tentera berkata insiden itu membangkitkan persoalan mengenai keselamatan kapal selam yang membawa 16 peluru berpandu balistik semasa meronda lautan tanpa memberitahu kedudukan merka walau pun kepada negara sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Pertembungan dua kapal selam nuklear itu, pada malam 3 Februari di lokasi yang tidak didedahkan, disifatkan pakar tentera di London dan Paris sebagai satu dalam sejuta, memandangkan luasnya lautan dan kurangnya bilangan kapal selam yang membawa peluru balistik, kecuali Amerika Syarikat, Russia, China, selain Britain dan Perancis.

Lebih memeranjatkan, kata pakar, ialah Kementerian Pertahanan Perancis nampaknya tidak menyedari bahawa kapal selam Le Triomphant berlanggar dengan kapal selam Britain, HMS Vanguard.

Pada 6 Februari kementerian mengeluarkan satu kenyataan di Paris mengatakan bahawa kapal selam Perancis 'berlanggar dengan satu benda dalam air' yang menurutnya mungkin kapal kontena yang hanyut dan berkata kubah sonar kapal selam itu rosak teruk.

Pengesahan rasmi perlanggaran hanya dibuat selepas satu laporan disiarkan Isnin lalu oleh akhbar tabloid Britain, The Sun.

Para pegawai Perancis berkata mereka hanya menyedari Le Triomphant berlanggar dengan kapal HMS Vanguar selepas bertanya kepada tentera laut negara lain.

Kapal HMS Vanguard ditarik ke pelabuhan Faslane di Firth of Clyde, dekat Glasgow, Scotland, manakala kapal Le Triomphant ditarik ke pelabuhan L'Ile Longue, dekat Brest, barat Perancis.

'Dua kapal selam berlanggar pada kelajuan rendah. Tetapi kami ingin mengesahkan bahawa (senjata nuklear) kami tidak terjejas sama sekali,' kata pegawai kanan tentera luat Britain, Laksamana Jonathon Band.

Namun, kumpulan anti- nuklear berkata ini merupakan satu peringatan menakutkan mengenai risiko yang ditimbulkan kapal selam berkuasa nuklear dan membawa senjata nuklear. -- AP.

No comments:

Posting Terkini