Pages

Thursday, February 19, 2009

BN tercabar, mahu cabar keputusan Speaker

PETALING JAYA: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain menghadiri sidang Dewan selama 18 bulan adalah keputusan yang tidak sah, kata Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pagi tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN dan Perdana Menteri meminta Zambry membuat laporan polis berhubung keputusan Speaker.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sivakumar boleh dianggap melanggar titah dan menderhaka kepada Sultan Perak.

"Jangan perkecilkan Tuanku dan jangan mengundang permasalahan dengan Tuanku dan pihak istana kerana kami di Perak berasa cukup tercabar," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak. berkata Sivakumar tidak boleh melihat hanya daripada aspek perundangan sahaja tetapi perlu mengambil kira kesetiaan kepada sultan.

Mengulas tindakan yang wajar diambil terhadap Sivakumar, beliau berkata, ia bergantung kepada perbincangan dengan Penasihat Undang-undang Umno dan Barisan Nasional dalam tempoh masa terdekat.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahary, Sivakumar telah membuat satu keputusan di luar bidang kuasanya sebagai Speaker.

“Dia (Sivakumar) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN tidak boleh bertindak sedemikian.

"Jawatankuasa itu berperanan menjatuhkan hukuman kepada Exco yang punya masalah disiplin atau tingkahlaku tapi dia telah melangkaui bidang kuasa itu ketika menjatuhkan hukuman sedemikian.

“Kerajaan Barisan Nasional di Perak sepakat mengatakan keputusan yang dibuat oleh Speaker Sivakumar tidak sah,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Kangsar berkata, Menteri Besar serta enam Exco yang digantung itu boleh menghadiri mesyuarat DUN seperti biasa.

“Mereka (MB dan Exco) boleh hadir mesyuarat DUN macam biasa tiada masalah. Umno dan kerajaan BN sedang meneliti apakah langkah dan kaedah yang boleh diambil untuk menafikan keputusan Speaker. Perkara tersebut akan turut dibincangkan dalam mesyuarat Umno Negeri dalam tempoh masa terdekat.

“Apa langkah yang bakal diambil saya tidak boleh maklumkan sekarang, Tunggu sehingga kami selesai bermesyuarat,” katanya.

No comments:

Posting Terkini