Pages

Wednesday, January 28, 2009

TLDM Terima Kapal Selam Secara Rasmi - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 28 Jan-- Kapal selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM), KD Tunku Abdul Rahman diterima secara rasmi daripada pengarah projek Scopene di Toulon, Perancis Sabtu lepas.

Penyerahan kapal selam pertama negara itu dibuat pada satu majlis di dalam kapal selam berkenaan di Pangkalan Tentera Laut Perancis dan disaksikan Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar.

TLDM dalam kenyataan di sini hari ini berkata Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan Nazri Siron mengetuai kumpulan penerima kapal selam itu yang turut dianggotai Ketua Pengarah Kejuruteraan, Laksamana Pertama Khairudin Khalid dan Pasukan Projek Angkatan Kapal Selam TLDM.

DCNS pula diwakili Pengarah Projek Scorpene Didier Husson dan Pengarah Urusan Limbungan Navantia Cartagena, Sepanyol Menuel Filgureira.

Abdul Aziz, ketika bertemu dan menyampaikan amanat kepada krew kapal selam itu mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka kerana berjaya melepasi semua rintangan dan cabaran sehingga melayakkan diri menjadi krew kapal selam pertama negara.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia itu mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Ia antara lain dilengkapi dengan enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam.

Kapal selam berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

Malaysia turut menempah sebuah lagi kapal selam yang dinamakan "KD Tun Razak" sempena nama perdana menteri kedua negara.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini