Pages

Wednesday, January 28, 2009

Muka Baru SUPP Warnai Pilihan Raya Negeri

KUCHING, 28 Jan -- Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam membayangkan parti itu akan menampilkan beberapa muka baru sebagai calon pada pilihan raya negeri akan datang.

Dr Chan berkata SUPP, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di Sarawak, dijangka akan membuat perancangan yang lebih teliti selain mengenalpasti calon yang sesuai lebih awal untuk mengelak berlaku pemilihan calon di saat-saat akhir pilihan raya negeri hendak diadakan, selewat-lewatnya pada 2011.

"Sesama kita memang telah dikenalpasti beberapa calon yang sesuai, namun pada masa yang sama kita perlu mendapatkan pandangan daripada penyokong di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi majlis rumah terbuka Setiausaha Agung SUPP Senator Datuk Sim Kheng Hui di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk SUPP mendedahkan kepada umum siapa yang akan berundur sebagai calon dan siapa muka baru.

Isnin lalu Dr Chan, 73, Timbalan Ketua Menteri dan juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau, mengesahkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang setelah mempertahankan kerusi Piasau sejak 1983.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini