Pages

Saturday, January 31, 2009

TAHANAN GUANTANAMO MUNGKIN DIBICARAKAN

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditahan di pusat tahanan Guantanamo Bay di Cuba mungkin menjadi rakyat Malaysia pertama dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas tuduhan melakukan pengganasan.

Mohd Farik Amin @ Zaid @ Zubair, 34 tahun, dan Mohammed Nazir Lep @ Bashir Lep @ Lillie, 33 tahun, yang disifatkan sebagai 'merbahaya' oleh agensi risikan antarabangsa, juga mungkin dipindahkan ke pusat tahanan federal yang lain.

Mereka bagaimanapun boleh dihantar pulang ke tanah air dan ditempatkan di pusat tahanan setempat atas permintaan kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Amerika dalam satu pertemuan tidak rasmi baru-baru ini bahawa kedua-dua suspek itu besar kemungkinan dihadapkan ke sebuah mahkamah sivil.

'Kami sedang menantikan butir lanjut daripada Amerika Syarikat,' katanya,

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pernah ditukil sebagai berkata Malaysia akan mendapatkan persetujuan dari Amerika bagi membenarkan pegawai polis Malaysia bertemu dengan kedua-dua suspek ini dan agar mereka dipenjarakan di Malaysia.

Status 250 tahanan di Guantanamo Bay kini masih belum jelas selepas Presiden baru Amerika, Encik Barack Obama, mengarahkan pusat tahanan itu ditutup dalam tempoh setahun mendatang.

Mohd Farik dan Mohammed Nazir merupakan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Mereka, yang menerima latihan menggunakan senjata di Afghanistan, ditangkap di Bangkok pada 2003.

Penangkapan mereka telah membawa kepada penangkapan Hambali, seorang pemimpin kanan JI.

Isteri Hambali, Noralwiza Lee Abdullah, 39 tahun, seorang rakyat Malaysia dari Sabah, turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2003, tetapi kemudian dibebaskan pada 2007.

Mohd Farik dan Mohammed Nazir telah disenaraikan sebagai antara 14 suspek utama pengganasan oleh Amerika.

Mereka, bersama Hambali, didakwa terlibat dalam pengeboman kelab malam di Bali pada 2002. -- The Star.

No comments:

Posting Terkini