KUALA LUMPUR 29 Jan. — Rakyat Malaysia berpeluang melihat secara lebih dekat lukisan potret agung abad ke-16 Mona Lisa, karya pelukis terkemuka Leonardo da Vinci, jika rancangan membawa lukisan itu bersama koleksi lukisan antarabangsa lain ke negara ini mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak swasta.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata rancangan itu adalah antara usaha kementerian itu tahun ini untuk menarik minat rakyat di samping pelancong luar untuk datang menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian termasuk melawat pameran koleksi lukisan antarabangsa dan karya seni lukis tempatan.
“Lukisan Mona Lisa akan dibawa ke Malaysia jika mendapat kerjasama daripada semua pihak khususnya pihak swasta.
“Kita sedang usahakan perkara itu sekarang dan diharap ia boleh dilaksanakan pada tahun ini malah kita boleh lakukannya sama seperti kita bawa persembahan muzikal Mamma Mia untuk dipertontonkan di sini, sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengkisahan Sejarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di sini hari ini.
Katanya semasa mengadakan lawatan ke Paris baru-baru ini, beliau ada berbincang mengenai cara untuk membawa masuk koleksi seni di kota itu ke negara ini dan menghubungi pihak yang menguruskan hal berkenaan.
“Kita mahu bukan saja potret Mona Lisa, tapi koleksi pelukis lain juga untuk dipaparkan kepada masyarakat Malaysia,” katanya.
Mohd Shafie berkata mengenai tempoh masa pameran, ia bergantung kepada perjanjian yang akan dilakukan kelak.
“Harapan saya ia bukan saja dapat memberi manfaat kepada rakyat tempatan tapi rakyat dari negara jiran juga. Ini kerana bukan semua orang mampu ke negara Eropah seperti Perancis tetapi mereka boleh datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan itu,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah adalah Timbalan Menterinya Teng Boon Soon, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Muzahet Masruri dan Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Nor Azmal Mohd Nazir.
Antara tokoh yang dijemput sempena pengkisahan ini ialah Tan Sri Kamarul Ariffin, Datuk Syed Ahmad Jamal dan Tan Sri Abdul Aziz Tapa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata BSLN akan memulakan pembinaan bangunan tambahan baru bernilai RM20 juta pada tahun ini bagi menyediakan ruang kepada pelukis jalanan di negara ini mempamerkan hasil karya seni mereka.
Katanya bangunan yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu adalah antara usaha kementerian untuk memberi sokongan kepada pelukis yang kurang mampu dari aspek fizikal dan kewangan.
“Mereka boleh memapar dan menjual hasil seni mereka di bangunan ini dan kita akan mempromosikan bangunan ini sebagai galakan untuk mereka yang sering merungut mengenai kewangan dan lokasi yang tidak strategik.
“Saya yakin kalau lokasi ini kita promosikan setiap minggu sebagai ruang untuk mempamerkan dan menjual lukisan ia akan dikenali ramai bukan sahaja dari penduduk tempatan malah pelancong asing,” katanya.
Katanya melalui landasan itu, pelukis jalanan terbabit boleh mula menyertai jualan mingguan yang akan dikelolakan kementerian atau mana-mana pihak di tempat tertentu.
“Kita bercadang memulakan pameran mingguan kecil-kecilan terlebih dulu dan mengambil pendekatan yang dilakukan balai seni lukis di London dan Paris,” katanya.
— BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment