Oleh
Fadilah A. Majid
MASANYA adalah tepat untuk menimbangkan sistem ekonomi Islam secara serius ketika dunia menghadapi krisis kewangan sejagat sekarang, kata salah seorang penceramah dalam Kongres Ekonomi Islam semalam.
Oleh kerana krisis kewangan tidak menjejas kewangan Islam, ia memaksa kita berfikir sama ada sistem perbankan dan kewangan Islam mungkin menjadi huraian yang diperlukan bagi memperbaiki dan menstabilkan ekonomi-ekonomi dunia hari ini, kata Encik Sidek Saniff, mantan Menteri Negara Kanan (Sekitaran).
Malah, beliau menambah, berdasarkan hakikat ini, masyarakat Islam seluruh dunia harus meningkatkan keyakinan terhadap sistem ekonomi Islam dan terus mencari jalan bagi mengukuhkan institusi kewangan Islam.
Encik Sidek, dalam kertas kerja yang dibentangkan pada kongres ketiga yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, berkata bahawa di sebalik krisis instrumen kewangan konvensional dan amalannya, institusi kewangan Islam masih kukuh sejauh ini.
'Saya yakin anda bersetuju kerana ia berlandaskan syariah Islam.
'Ini harus mendorong dan meyakinkan kita supaya terus mengukuhkan institusi kewangan kita, termasuk perbankan Islam, insurans Islam atau takaful, pelaburan Islam, broker pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan juga penggunaan teknologi secara umum bagi menyokong kegiatan ekonomi Islam seperti bayaran zakat secara elektronik, bayaran debit zakat dan juga penggunaan teknologi lain yang berkaitan,' ujar beliau, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Mengukuhkan Institusi Islam dan Pengurusan Dana: Strategi memastikan pertumbuhan ummah di kongres selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Kongres itu, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Najib Abdul Razak, bertujuan melibatkan pelbagai penceramah yang membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi Islam.
Beliau turut memetik Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, semasa berucap pada majlis makan malam perasmian Persidangan Projek Pemerintahan Global S.T. Lee di Hotel Four Seasons pada 5 Disember lalu, yang menekankan bahawa nilai-nilai Islam yang mengharamkan insurans dan kadar faedah harus diberi perhatian, terutama ketika dunia menghadapi krisis kewangan.
Dalam kertas kerjanya semalam, Encik Sidek juga menyarankan agar beberapa langkah mempercepat peranan sistem ekonomi Islam diambil, termasuk membaiki sistem perbankan dan institusi Islam. Negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei boleh mengetuai usaha itu dan disokong oleh negara-negara seperti Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam.
Usaha sama yang progresif antara Timur Tengah dengan ekonomi-ekonomi Asia Timur harus dibentuk bagi mempromosi, menggaji dan mengembangkan kegiatan berlandaskan ekonomi Islam, termasuk perbankan, Ar-Rahnu dan juga kemudahan lain yang dapat menarik minat dan kesediaan negara-negara bukan Islam mengamalkan sistem perbankan dan kewangan Islam.
'Barat dan Timur perlu hidup bersama dalam satu sistem ekonomi sejagat lebih baik, terutama selepas pendedahan terbaru dan juga peristiwa yang mendedahkan kelemahan kritikal dalam sistem konvensional sekarang,' tambahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment