KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno mula bermesyuarat dengan sekumpulan ahli Pergerakan Pemuda dan Putera mengadakan 'demonstrasi' membantah syor agar kesemua sayap parti itu dibubarkan bagi mengatasi masalah gejala politik wang.
Kira-kira 50 orang berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej "Disiplin Disiplin sudah nyanyuk, jangan halang hak parti".
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hadir kira-kira pukul 8.40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat.
Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT beliau melancarkan sistem pendaftaran keahlian Umno atas talian di lobi Menara Dato Onn.
Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak turut hadir. Mesyuarat MT kali ini dijangka memberi tumpuan terhadap beberapa isu 'panas' semasa - antara lain perkembangan di Perak ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Barisan Nasional (BN).
Selain itu, ia juga dijangka membincangkan perkembangan kes politik wang.
Malah, mesyuarat kali ini juga dijangka membincangkan persiapan menjelang perhimpunan tahunan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat Mac ini.
Selain itu, mesyuarat malam ini merupakan yang pertama sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu, yang menyaksikan Umno dan BN gagal mempertahankan kerusi tersebut.
Dalam pada itu, salah satu bahagian dalam Terengganu, Besut pula mencadangkan agar calon bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden Umno berkompromi bagi mengelak pertandingan.
Bahagian itu mahu pendekatan tersebut diambil bagi memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.
Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail mengesyorkan agar Umno disusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.
Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mesyuarat bulanan MT Umno kali ini akan membincangkan mengenai pelbagai isu mengenai keadaan politik semasa.
Bagaimanapun beliau menafikan mesyuarat tersebut khusus bagi membincangkan mengenai tindakan Nasarudin menyertai Pakatan Rakyat berkuat kuasa Ahad lalu.
"MT adakan mesyuarat bulanan seperti biasa, bukan ada sebab-sebab tertentu atau kerana perkara-perkara tertentu.
"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya kepada mStar Online.
Namun jelas Tengku Adnan, salah satu agenda pada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai tindakan Nasarudin itu.
"Kita akan bincang juga hal itu sebagai isu-isu berbangkit," katanya.
Tambah beliau lagi isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan turut dibincangkan. - mstar
Thursday, January 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment