Pages

Saturday, January 31, 2009

LEBIH 16,000 PEKERJA DIBERHENTIKAN TAHUN LALU

Singapura - LEBIH 16,000 pekerja diberhentikan tahun lalu dengan hampir separuh pemberhentian berlaku pada suku keempat tahun lalu sedang krisis kewangan sejagat terus membawa kemudaratan kepada pasaran buruh.

Daripada jumlah tersebut, 13,400 pekerja telah diberhentikan sementara 2,600 pekerja kontrak diberhentikan sebelum tamat tempoh kontrak mereka.

Para pengamat yang dihubungi semalam berkata bilangan pekerja yang akan diberhentikan tahun ini sudah pasti melebihi kadar pembuangan kerja yang mencapai 29,000 yang dicatatkan sewaktu krisis kewangan Asia 1997/1998.

Laporan pasaran buruh itu dibentangkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.

Secara keseluruhan, kadar pengangguran mencecah 2.6 peratus, paras tertinggi sejak suku pertama 2007.

Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, yang ditemui malam tadi berkata kemelesetan yang membelenggu ekonomi sejagat menjejas hampir kesemua sektor, terutama sektor pengilangan.

'Memandang ke hadapan kita akan melihat pemberhentian kerja dan pengangguran terus melonjak.

'Namun saya fikir kita tidak perlu cepat berputus asa. Apa yang penting ialah supaya kita dapat tumpukan perhatian membantu syarikat menangani kegawatan ini,' ujar Encik Gan lagi.

Antara langkah yang telah diperkenalkan Pemerintah termasuk skim Kredit Pekerjaan dan Program Kemahiran bagi Peningkatan dan Ketahanan (Spur) untuk membantu pekerja memiliki kemahiran baru, atau menjalani latihan semula.

Kredit pekerjaan juga, menurut Encik Gan bertujuan menjadikan pekerja tempatan lebih menjimatkan daripada segi kos supaya manfaatnya dapat diraih pekerja tempatan.

Encik Gan juga ditanya pandangan pemimpin pergerakan buruh, Encik Lim Swee Say, untuk mengekalkan kadar pemberhentian supaya ia tidak melebihi 30,000 pekerja.

'Saya fikir Encik Lim telah menetapkan sasaran yang tinggi dan mencabar tetapi pendirian saya ialah kita tidak sepatutnya lari daripada berusaha ke arah itu walaupun ia sukar atau mencabar.

'Apa yang penting ialah untuk kita tumpukan usaha dan tujuan ke arah itu,' ujar Encik Gan lagi.

Ketika dihubungi semalam, Pakar Ekonomi Citibank, Encik Kit Wei Zheng, berkata bilangan pekerja yang akan diberhentikan akan melonjak kerana 'kelemahan dalam pasaran buruh masih di peringkat awal'.

'Apabila lebih banyak pemberhentian berlaku, kita boleh jangkakan bilangan pekerjaan baru yang diwujudkan adalah lebih rendah daripada bilangan pekerja yang diberhentikan.

'Sektor pengilangan akan menghadapi lebih banyak pemberhentian, serta sektor lain seperti khidmat kewangan dan hartanah,' ujarnya, yang meramalkan kadar pengangguran mencapai 4.2 peratus tahun ini.

Ditanya sama ada skim kredit pekerjaan diumumkan dalam Belanjawan lalu dapat menyelamatkan pekerjaan, Encik Kit berpendapat ia akan menyediakan sokongan kepada pekerja bergaji rendah.

'Tetapi, ia mungkin tidak dapat mengurangkan tekanan pemberhentian bagi pekerja bergaji tinggi terutama dalam khidmat kewangan,' jelas Encik Kit.

Pakar Ekonomi HSBC, Encik Robert Prior-Wandersforde, juga bersetuju sambil menambah skim itu mempunyai kesan lebih tinggi bagi 'sektor kecil yang berintensif buruh'. CB

No comments:

Posting Terkini