Pages

Thursday, January 29, 2009

Laporan polis terhadap Ketua Polis

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang mendakwa dua Timbalan Menteri serta keluarga suspek kes curi kereta mewah, A. Kugan telah menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada 20 Januari lepas.

Manikavasagam dan peguam, N. Surendran membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 2.10 petang ini.

"Kami bukan sahaja membuat laporan polis, tetapi kami juga menyerahkan sekeping rakaman cakera padat video (VCD) kepada polis bagi membuktikan dakwaan pencerobohan bilik mayat oleh keluarga dan dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah dan Datuk S.K. Devamany di hospital berkenaan adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Manikavasam berkata, rakaman VCD itu jelas menunjukkan keduadua timbalan menteri tersebut tidak berada di tempat kejadian sewaktu orang ramai memasuki bilik mayat itu, sebaliknya hanya hadir beberapa jam kemudian.

"Dakwaan polis terhadap keluarga mangsa menceroboh bilik mayat juga tidak benar kerana rakaman itu menunjukkan penjaga bilik mayat itu sendiri yang membenarkan kesemua anggota keluarga Kugan memasukinya," katanya.

Manikavasagam berkata, oleh itu tindakan perlu diambil ke atas Ketua Polis Selangor kerana mengeluarkan kenyataan palsu.

Kugan, 23, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang ditemui mati ketika ditahan dalam lokap di Balai Polis USJ Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan tersebut pukul 2.20 petang.

Khalid yang dihubungi Bernama enggan mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya.

No comments:

Posting Terkini