Pages

Friday, January 30, 2009

Kerajaan Selangor akan saman sebuah laman web - Malaysiakini

SHAH ALAM, 29 Januari - Kerajaan negeri akan memfailkan saman ke atas pemilik dan penulis sebuah laman web yang menyiarkan fitnah kononnya seorang anggota Exco wanita Selangor ditangkap basah.

Exco berkenaan, Dr Halimah Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang berkata tindakan itu diambil setelah mengadakan perbincangan dengan Dato’ Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr Halimah yang dijangka bertemu dengan peguam beliau hari ini, tidak menolak untuk memfailkan saman sehingga RM40 juta.

“Kita hendak beri pengajaran (sama ada) kepada media elektronik atau media cetak agar tidak sebarangan membuat tuduhan terutamanya apabila melibatkan maruah orang. Kita tak mahu ‘penyakit’ seperti ini menular,” kata Dr Halimah yang ditemui di pejabatnya hari ini.

Dr Halimah berkata laman web berkenaan, My Kmu.net (Gerbang Tempur Maya Kumpulan Penyokong Umno) menyiarkan kenyataan ahli forumnya, Jamilisa yang mendakwa beliau ditangkap basah di sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Jamilisa atau ‘Brigade Commander Selangor’ dalam kirimannya pada 25 Jan bertajuk ‘Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap basah’ itu turut mendakwa Adun Selat Klang itu ditangkap dalam satu serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Saya sendiri telah bertanya kepada penguatkuasa Jais di Shah Alam dan Klang yang menafikan adanya serbuan dibuat dalam seminggu ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Sehubungan itu beliau telah membuat laporan polis dan memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menggantung operasi laman web itu.

Dr Halimah berkata dakwaan itu adalah satu perkara yang sangat besar kerana membabitkan maruah beliau sebagai seorang wanita dan wakil rakyat daripada parti Pas.

“Selama ini saya berjuang untuk membanteras perkara yang mungkar dan maksiat. Takkan saya yang mendokong parti Islam yang sudah melalui segala onak dan duri dalam perjuangan sebagai pembangkang, tiba-tiba pula nak melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam,” katanya berharap pimpinan Umno sama ada di peringkat negeri atau pusat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Saya yakin dan percaya pimpinan Umno sudah pasti tahu siapa di belakang (dakwaan ini),”katanya.

Beliau tidak menolak yang dakwaan itu sengaja dibuat untuk mencemarkan imej Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Menyifatkan ia satu taktik kotor, Dr Halimah berkata pemilik laman web itu perlu bertanggungjawab kerana menyiarkan satu dakwaan palsu.

Sementara itu, Jais melalui Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Hidayat Abd Rani hari ini menafikan dakwaan yang jabatan itu telah membuat tangkapan berkenaan.

Beliau dalam satu kenyataan petang ini berkata tiada operasi dan tindakan tangkapan pada tempat dan masa seperti yang disebarkan laman web itu.

“Dakwaan bahawa Jais telah membuat tangkapan khalwat Adun Selat Klang adalah tidak benar sama sekali.

“Pihak Jais ingin menasihatkan agar hebahan-hebahan yang berunsur sebegini tidak berulang bahkan tidak berlaku lagi demi menjaga maruah individu tertentu terutama dalam perkara yang tidak dilakukan,” katanya. - NOOR ALLIA KASSIM (Selangor kini)

No comments:

Posting Terkini