Pages

Friday, January 30, 2009

KEMENANGAN PERTAMA BAGI OBAMA

WASHINGTON: Dewan perwakilan Amerika Syarikat yang dikuasai wakil parti Demokrat meluluskan satu rang undang-undang rangsangan ekonomi besar yang bersejarah bernilai AS$819 bilion ($1.2 trilion) semalam.

Langkah itu merupakan satu kemenangan dasar undang-undang yang pertama bagi Presiden Barack Obama, walaupun beliau gagal menambat hari perwakilan Republikan untuk menyokong usulnya itu.

Encik Obama telah beberapa kali menekankan tema ekonomi dalam ucapannya tetapi usahanya untuk menyampaikan mesej bagi menjangkau semua parti gagal mengubah pendirian pihak pembangkangnya dalam ujian pertama matlamat dwipartisannya.

Dewan memberikan 244 undi menyokong berbanding 188 undi menentang, dengan perwakilan Republikan sebulat suara membangkangnya.

Dengan kadar pengangguran berada di paras tertingginya sejak suku abad lalu serta kerapuhan industri perbankan walaupun telah disuntik wang yang banyak untuk menyelamatkannya serta wilayah-wilayah yang menghadapi krisis belanjawan, anggota Demokrat berkata rang undang-undang itu amat diperlukan.

Anggota Republikan pula memberi alasan bahawa rang undang-undang itu tidak menyentuh potongan cukai dan mengandungi terlalu banyak perbelanjaan.

'Pelan pemulihan ini akan menyelamatkan atau menghasilkan lebih daripada tiga juta pekerjaan baru sepanjang beberapa tahun akan datang,' kata Encik Obama dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan selepas Dewan Perwakilan mengundi.

Beliau kemudian mengalu-alukan pemimpin kongres kedua-dua parti ke Rumah Putih bagi satu majlis ringan sedang beliau terus melobi untuk rang undang-undang itu.

Awal daripada itu, Encik Obama mengisytiharkan 'kami tidak mempunyai masa untuk diluangkan' sedang sekutu-sekutu kongresnya berhempas-pulas mempercepatkan tawarannya itu di tengah-tengah krisis ekonomi paling teruk sejak Zaman Meleset 1930.

Suasana ekonomi yang semakin bermasalah menjadi ujian getir pertama pentadbiran Encik Obama.

Bagaimana beliau menangani keadaan tidak menentu itu, dan kesan pakej rangsangannya ke atas ekonomi Amerika, mungkin menentukan suasana tahun pertamanya memegang jawatan, jika tidak untuk sepanjang tempohnya.

Undian itu akan membawa rang undang-undang tersebut ke Senat, di mana perbahasan akan dimulakan seawal Isnin ini menyentuh satu langkah tambahan yang sudah pun dibentuk. -- AP.

No comments:

Posting Terkini