Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Senator Datuk Wan Farid Wan Ahmad, yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, agar menyahut cabaran Pakatan Rakyat menjelaskan "ketirisan wang royalti minyak RM1.6 bilion."
Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, "saya mencabar Farid untuk menjawab isu ketirisan wang royalti kira-kira RM1.6 bilion" bagi menjelaskan kepada umum tentang isu itu. Beliau yang melancarkan jentera dan bilik gerakan pilihan raya Angkatan Muda Keadilan di DUN Ladang di sini semalam berkata, maklumat yang diperoleh daripada sidang Parlimen menunjukkan kerajaan telah membayar royalti RM6 bilion antara 2004 dan 2007.
Berdasarkan maklumat bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, kerajaan negeri itu telah memperoleh RM5 bilion.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan pembayaran RM400 juta.
"Jadi, mengikut perkiraan masih ada kebocoran RM1.6 bilion dan ke mana perginya wang ini.
"Oleh itu kami mencabar agar Wan Farid menjelaskan isu ini di sini (pilihan raya kecil Kuala Terengganu)," katanya.
Kata Shamsul, kebocoran wang sebanyak itu menunjukkan kerajaan BN tidak boleh menguruskan wang rakyat dengan sebaik mungkin.
"Ke mana perginya wang sebanyak itu... kalau betul BN bela rakyat, buktikan," kata beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment