KUALA TERENGGANU: Calon bebas bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Encik Azharuddin Mamat alias Adam, 46 tahun, mendapat seorang sekutu, Cik Maimun Yusuf, 89 tahun, calon paling tua dalam pilihan raya umum Malaysia tahun lalu.
Nenek tersebut, yang terkenal kerana berkempen di keliling bandar dengan mengayuh basikal semasa beliau bertanding dalam pilihan raya ke-12 pada 8 Mac 2008, berkata beliau berharap dapat bertanding bagi kerusi parlimen kali ini.
Cik Maimun, yang mampu meraih 685 undi, berkata memang baik mengetahui ada orang lain yang turut mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) and Parti Islam SeMalaysia (PAS).
'Sekurang-kurangnya, dengan adanya satu lagi calon pada kertas undi, saya sekarang mempunyai sebab yang baik untuk ke pusat mengundi Sabtu ini untuk melaksanakan hak saya sebagai seorang rakyat,' katanya selepas menyambut kedatangan Encik Azharuddin di rumahnya di Gong Gemia Isnin lalu.
Encik Azharuddin, yang mendermakan barangan runcit kepada Cik Maimun, berkata penting bagi beliau bertemu Cik Maimun yang dianggapnya sebagai warga yang berani berjuang atas apa yang diyakininya.
'Mendengar kata-katanya yang menggalakkan memberikan saya kekuatan baru untuk terus berjuang dalam satu perjuangan sukar terhadap pesaing-pesaing yang menggerunkan daripada parti campuran kerajaan dan pembangkang.
'Saya tahu saya mempunyai peluang, walau sekecil mana sekalipun, untuk meraih kemenangan yang paling besar dalam hidup saya,' katanya.
Penyedia rawatan tradisional itu berkata beliau yakin akan mendapat penyokong yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya tidak kehilangan depositnya.
Bagaimanapun, beliau mempunyai matlamat menjadi ahli parlimen dengan cuba mendapatkan lebih 50 peratus daripada 80,229 undi yang bakal dibuang oleh para penduduk Kuala Terengganu lusa.
Encik Azharuddin akan berdepan dengan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dan calon PAS, Encik Mohd Abdul Wahid Endut. -- NST.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment