Pages

Thursday, December 4, 2008

Zaid tidak boleh rayu - Abdullah

KUALA LUMPUR: Keputusan Umno untuk memecat bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim adalah muktamad dan tidak boleh dirayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Keputusan telah dibuat. Ini satu keputusan biasa. Keputusan ini sewajarnya dilakukan," kata Abdullah, yang juga Presiden Umno, selepas menyampaikan ucaptama di Kongres Asia Timur keenam di sini, hari ini.

Selalsa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Zaid dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri acara yang dianjurkan parti pembangkang.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.

Dalam perkembangan serantau, Perdana Menteri juga mengulas mengenai penangguhan Sidang Kemuncak Asean ke-14 oleh Thailand sebagai tuan rumah, kerana kemelut politik di negara itu, ke Mac depan.

Sidang kemuncak itu dijadual diadakan dari 13 hingga 18 Disember ini di Chiang Mai.

"Kita yakin sidang tersebut akan diadakan bila keadaan stabil kembali. Bila keadaan stabil, negara itu boleh jadi tuan rumah sidang Asean," katanya.

Ditanya jika Malaysia akan menghulurkan bantuan untuk menyelesaikan masalah politik Thailand, Abdullah berkata Malaysia tidak pernah membantu menyelesaikan masalah politik negara lain.

"Kecuali di Kemboja beberapa tahun dulu. Itu pun di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kita fikir Thailand mampu menyelesaikan masalahnya sendiri. Thailand juga mampu mengadakan pilihan raya sendiri dan memilih kerajaan," kata Abdullah. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini