Pages

Wednesday, December 3, 2008

Zaid Ibrahim Dipecat Daripada Umno

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini malam ini, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

"Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Sabtu lepas, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

"Tidak timbul keresahan atau cuit (perasaan) golongan lain. Satu mekanisme penting akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Ada isu sensitif, perkara ini mestilah berhati-hati. Kalau isu sensitif banyak orang yang akan terasa," katanya.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal.

"Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Menyentuh mengenai isu ADUN Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa dirinya telah dipinggirkan oleh Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Perdana Menteri berkata Arif Shah telah bertemu dengannya semalam dan menyatakan pendirian yang beliau akan tetap bersama Umno dan BN serta tidak berminat menyertai parti lain.

Arif Shah dilaporkan berkata telah menerima pelawaan daripada PKR untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata MT masih belum memutuskan calon yang akan mewakili BN bagi mempertahankan kerusi itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada Jumaat lepas.

Mengenai sama ada MT Umno akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan calon yang akan dipilih bagi mewakili BN beliau berkata: "Tidak semestinya MT yang akan membuat keputusan (mengenai calon). Jawatankuasa pengurusan pun boleh pilih calon dan memaklumkan kepada saya."

Beliau berkata MT memutuskan supaya semua persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu disegerakan, termasuk jentera dari bahagian-bahagian di negeri lain.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata keputusan untuk memecat Zaid daripada Umno adalah berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti.

"Keputusan yang kami ambil adalah berdasarkan prinsip. Dalam Umno dari dulu lagi kami ikut garis panduan dalam parti. Apabila kita melanggari garis panduan parti, kita mesti berdepan tindakan disiplin yang biasa," kata Muhammad kepada pemberita selepas mesyuarat MT itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan terhadap Zaid dicapai sebulat suara.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Hishammuddin berkata parti itu yakin dapat mengekalkan kerusi berkenaan, "dan bagi saya, saya menganggapkannya sebagai perjuangan peribadi sebab yang pertama, allahyarham adalah timbalan saya (Timbalan Menteri Pelajaran) dan telah banyak memberi sumbangan.

"Saya berasa amat tersentuh dengan pengorbanannya dan berharap penduduk Kuala Terengganu akan menggambarkannya dalam pilihan raya akan datang.

"Kedua, datuk saya (Datuk Onn Jaafar) bertanding di Kuala Terengganu apabila beliau tidak diterima di Johor. Jadi saya fikir ramai lagi kawan lama dia dekat situ dan mungkin mereka boleh bantu saya," kata Hishammuddin kepada pemberita.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini