PETALING JAYA: Doktor Mohamed Osman Abdul Hamid yang menjalankan pemeriksaan pertama terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meletakkan jawatan sebagai pegawai perubatan di Hospital Pusrawi kira-kira dua bulan yang lalu.
Perkara tersebut turut disahkan oleh Pengarah Perubatan hospital berkenaan, Dr. Kamaruddin Ahmad.
Menurut beliau, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid telah membuka klinik persendirian di ibu kota.
“Ya, dia sudah letak jawatan kira-kira dua bulan yang lalu,” katanya kepada mStar Online sebentar tadi.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah Dr. Osman benar-benar meletakkan jawatan atau diberhentikan oleh pihak pengurusan hospital berkenaan.
Jelas Kamaruddin, Dr. Mohamed Osman meletakkan jawatan atas alasan membuka kliniknya sendiri.
“Apa yang saya tahu dia letak jawatan kerana telah buka kliniknya sendiri,” ujarnya ringkas.
Ditanya bila doktor berkenaan menghantar surat perletakkan jawatannya secara rasmi, Kamaruddin berkata:
“Itu saya tidak tahu, kena tanya pihak pengurusan,” katanya.
Sementara itu, pemangku Pengurus Pusrawi, Norhayati Ahmad ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut.
“Saya tengah bercuti ni. Saya tak akan memberi sebarang kenyataan berhubung isu ini,” kata Norhayati dan terus memutuskan talian.
Dr Mohamed Osman adalah seorang doktor yang berasal dari Myanmar dan mula bertugas di hospital itu sejak Januari lalu.
Ogos lalu doktor yang berasal dari Myanmar ini menggemparkan negara apabila mengeluarkan satu akuan bersumpah enam muka surat yang disiarkan di portal berita Malaysia Today.
Dalam akuan bersumpah itu, Dr Mohamed Osman mempertahankan hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful yang dibuat di Hospital Pusrawi, beberapa jam sebelum Mohd Saiful membuat laporan polis dia diliwat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment