Pages

Wednesday, December 17, 2008

Sumpah mubahalah elak rasuah 'tidak kena pada tempat' - Mufti

PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan sumpah mubahalah untuk diikrar oleh kakitangan kerajaan bagi mengelakkan gejala rasuah merupakan sesuatu yang tidak wajar dilaksanakan.

Malah tindakan mewajibkan setiap kakitangan kerajaan melakukan sumpah mubahalah dianggap janggal mengikut lunas agama Islam.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata cadangan sedemikian dilihat seperti 'tidak kena pada tempatnya' kerana penggunaan sumpah mubahalah untuk tujuan membanteras rasuah jelas berbeza dengan pengertian dan penggunaannya.

"Adakah semua perkara kita perlu bersumpah? Kalau begitu bagaimana pula dengan kakitangan bukan Islam, sumpah apa pula mereka nak pakai (guna)?," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau sumpah mubahalah digunakan apabila adanya pertuduhan iaitu sama ada orang yang menuduh atau yang yang dituduh ingin membuktikan kebenaran.

"Senang cerita sumpah mubahalah ini digunakan apabila masing-masing cuba menegakkan benang basah, tapi dalam kes nak banteras rasuah seperti ini apa pula pertuduhannya?," katanya.

Isu ini timbul dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin apabila Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan supaya diwujudkan sumpah mubahalah bagi mengelakkan pegawai atau kakitangan kerajaan terjebak dengan rasuah.

Katanya sumpah sedemikian perlu diwujudkan selain sumpah menyimpan rahsia seperti yang sedang diamalkan pada masa ini.

Tambah Mohd Tamyes cukup sekadar ikrar akujanji yang dibuat oleh kakitangan kerajaan sekarang ini iaitu pengakuan untuk menyimpan maklumat sulit.

"Tak perlu nak libatkan sumpah, kalau nak banteras rasuah melalui cara ini juga cukuplah sekadar ikrar akujanji bahawa seseorang kakitangan itu akan menyimpan maklumat rahsia jabatannya dan juga tidak akan mengamalkan rasuah," katanya.

Jelas beliau lagi seseorang pekerja itu seharusnya sudah mengetahui bahawa amalan rasuah itu adalah sesuatu yang haram dari hukum Islam malah turut dibenci dalam agama lain.

"Kesedaran hukum halal dan haram ini perlu ada. Adakah kita perlu bersumpah untuk tidak makan khinzir, tidak minum arak, meninggalkan amalan judi dan perkara-perkara haram yang lain?

"Nyata sekali kita tidak perlu bersumpah untuk semua perkara itu, maka sumpah mubahalah untuk mengelakkan rasuah juga tidak perlu dilakukan kerana jelas sekali ia haram," katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria juga berpendapat bahawa saranan pengunaan sumpah mubahalah yang bertujuan mengelakkan gejala rasuah tidak perlu dilakukan.

Katanya sumpah bukan satu perkara yang boleh dijadikan mainan atau pun digunakan sewenang-wenangnya.

"Sumpah bukan perkara mainan, dalam situasi ini tidak releven pun kita nak minta semua kakitangan kerajaan untuk bersumpah hanya kerana ingin elakkan amalan rasuah," katanya.

No comments:

Posting Terkini