Pages

Thursday, December 18, 2008

Pinda perlembagaan: Kerajaan tidak mahu ambil risiko politik - Nazri

KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Hakim 2008 hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tiba-tiba dikejutkan apabila lebih 10 orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun bagi menyatakan kesediaan mereka untuk mencukupkan bilangan dua pertiga ahli Parlimen bagi meminda beberapa peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun apabila Nazri sebelum itu mengatakan yang kerajaan tidak akan mengambil risiko dalam politik terhadap kemungkinan jumlah dua pertiga itu dapat dipenuhi.

"Saya nak tegaskan untuk kepentingan pengasingan kuasa, kita tidak akan berdolak dalik. Kita akan beri sokongan penuh.

"Tiada siapa yang minta kebebasan mutlak tapi kita mahu ada 'check and balance'. Saya ulangi bahawa kita tetap menyokong peruntukan manakala pindaan perlembagaan yang dirujuk dibahaskan. Kita berdiri untuk menyokong.

"Perdana Menteri hanya perlukan lapan orang dan kita ada jumlah yang lebih hari ini. Ini perkara serius kerana kita bimbang langkah awal ini tidak akan mendapat jawapan kalau Perdana Menteri tidak gunakan kesempatan yang ada sekarang" katanya.

Anwar berkata, beliau telah berulangkali menyatakan komitmen Pakatan Rakyat untuk menyokong pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan itu termasuk semasa membahaskan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) semalam.

"Saya telah berunding dengan pemimpin parti untuk menyokongnya kerana kita percaya, Perdana Menteri sekarang ada komitmen dan ia perlu dibentangkan sengan sebaiknya supaya ia terlaksana dan kami yakin, komitmen yang sama daripada kami itu ada," katanya.

Nazri bagaimanapun berkata, tindakan pembangkang itu hanya sandiwara dan beliau sama sekali tidak percaya dengan tawaran itu memandangkan politik partisan yang diamalkan pembangkang berdasarkan tindakan mereka.

"Kalau perlembagaan hari ini, kita ada 140 kerusi itu pun cuba untuk dirampas (oleh pembangkang) dengan cara yang tak baik, macam mana saya nak percaya bahawa kita boleh dapat sokongan daripada sebelah sana," katanya.

Anwar kemudiannya berkata, walaupun negara ini mengamalkan demokrasi berparlimen namun apabila pembangkang mengusulkan untuk membuat undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, ia ditolak.

"Di Thailand ia telah berlaku dan di India juga, percubaan itu sedang dilakukan tetapi di Malaysia, ia ditolak seolah-oleh merupakan satu dosa besar," katanya.

Nazri bagaimanapun berkata, pembangkang tidak seharusnya cuba mengugut kerajaan dengan cara itu memandangkan BN mempunyai lebih 50 peratus kerusi dalam Dewan.

Sesi penggulungan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Hakim ini menjadi tumpuan apabila ramai ahli Parlimen sama ada daripada pembangkang atau kerajaan bangun mencelah terutamanya berhubung Fasal-fasal yang dikatakan bercanggah dengan Perkara 122B dan 166E Perlembagaan Persekutuan masing-masing berhubung peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim dan keanggotaan serta bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak serta pelantikan, pemecatan dan penggantungan hakim-hakim mahkamah itu.

Rang undang-undang itu bagaimanapun telah diluluskan melalui suara majoriti pada jam 8 malam hari ini selepas dua hari dibahaskan.--mSTAR


No comments:

Posting Terkini