KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menjelaskan hanya mangsa dari 14 buah unit banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu, yang layak mendapat penginapan di hotel.
Beliau berkata kerajaan hanya akan menanggung kos penginapan di hotel bagi mangsa yang berkenaan dan bukan untuk penghuni yang diarahkan supaya mengosongkan rumah mereka.
"Mangsa yang tinggal sehelai sepinggang sahaja yang akan ditanggung kerajaan. Mangsa yang terbabit diminta mendaftar di pusat operasi Yang Dipertua MPAJ di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
Khalid berkata timbul kekeliruan di kalangan penghuni yang diarah mengosongkan kediaman mereka mengenai penginapan di hotel yang ditanggung kerajaan.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang pembantu rumah warga Sri Lanka, diteruskan pagi ini dengan lokasi mencari diperluaskan.
"Kita guna dua mesin pengorek dalam operasi hari ini dan akan diteruskan sampai pukul 2 petang. Operasi akan dibantu oleh beberapa pegawai dari IKRAM yang ditugaskan untuk menilai struktur tanah.
"Pada pukul 2 petang ini kita akan hentikan operasi seketika untuk bermesyuarat bersama IKRAM dan operasi akan diteruskan selepas mesyuarat selesai," katanya.
Khalid berkata penghuni-penghuni dibenarkan masuk ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan mereka dengan pengawasan pasukan SAR.
Beliau berkata masih terdapat penduduk yang kurang jelas mengenai arahan pindah yang dikeluarkan.
Katanya hanya kawasan kondominium Impian Selatan, Jalan 9 dan 11, Taman Wangsa Ukay, Jalan 6, Taman Bukit Jaya dan Taman Bukit Mewah diarahkan untuk kosongkan rumah.
"Kawasan lain selain daripada kawasan itu tak perlu pindah tapi, kalau ada juga nak keluar kita tidak halang. Arahan pindah dikeluarkan untuk tempoh 10 hari bermula Sabtu lepas sebelum pihak berkuasa membuat penilaian sama ada kawasan tersebut selamat atau tidak.
"Kita telah sediakan tempat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, tetapi jika mangsa tidak mahu tinggal saya minta mereka meninggalkan nombor telefon di pos pendaftaran operasi untuk mudah dihubungi," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment