Pages

Sunday, December 7, 2008

Nampaknya Tiada Siapa Pun Yang Belajar Daripada Tragedi Highlands Towers, Kata Musa Hitam

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- "Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi itu (Highland Towers)."

Itulah reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam apabila diberitahu mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa di sini pada Sabtu.

"Sudah bertahun-tahun tragedi itu berlalu dan hari ini insiden seperti itu berlaku lagi, (juga) mengakibatkan kematian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Amsterdam.

Anak lelaki Musa, Rashid Carlos dan isterinya Rozita, adalah antara 48 orang yang terkorban apabila sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, terletak 1.5km dari tempat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, runtuh pada 11 Dis, 1993.

"Ia satu memori yang amat tidak menyenangkan, sungguh memilukan. Saya sendiri yang mengalaminya. Harapan ialah agar siapa jua yang bersalah mesti menerima hukuman," kata Musa.

Tragedi Highland Towers mengejutkan seluruh negara memandangkan kejadian seumpama itu julung kali berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

Bagaimanapun kisah yang menyayat hati itu tidak berakhir di situ sahaja kerana terdapat beberapa lagi insiden berkaitan tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan, malah ada di antaranya mengakibatkan kematian.

Satu insiden yang sangat ketara berlaku pada 4.35 pagi, 20 Nov, 2002 apabila tanah runtuh meranapkan banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd Jen (B) Tan Sri Ismail Omar.

Isteri beliau, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anak lelakinya Hijaz, dua menantu dan dua cucu serta dua pembantu rumah warga Indonesia terkorban apabila banglo berkenaan ditimpa tanah runtuh.

Banglo bekas pegawai tentera itu terletak kira-kira 300m dari Highland Towers.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini