Pages

Tuesday, December 16, 2008

Azhar Berharap Diberi Peluang Sertai Majlis Tertinggi Umno

PULAU PINANG, 15 Dis-- Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim berharap para perwakilan akan memberinya peluang untuk menyertai barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada perhimpunan agung parti itu Mac depan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga itu, yang telah menerima pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan berkenaan, berazam membantu MT membangunkan Umno dan mengukuhkan perjuangan parti.

Beliau berharap penyertaan pertamanya itu akan diberi peluang oleh para perwakilan kelak walaupun mengakui pertandingan untuk jawatan berkenaan hebat berikutan sebahagian besar calon MT terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

"Saya sedar bahawa penyertaan saya ini hanyalah sebagai "underdog" namun selaku ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri, saya boleh memberi input dan maklumat yang tepat terhadap apa yang berlaku di negeri ini termasuk program kerajaan negeri pimpinan Pakatan Pembangkang untuk tindakan Umno," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan anugerah Sekolah Cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, Isnin.

Selain Azhar, beberapa calon lain dari Pulau Pinang yang turut layak untuk bertanding jawatan MT ialah Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Dr Hilmi Yahaya yang juga penyandang jawatan; Penasihat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal; serta tokoh korporat, Datuk Abdul Latiff Mirasa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan.

Ibu Pejabat Umno dijangka mengeluarkan surat tawaran bertanding kepada semua yang layak selewat-lewatnya sebelum pertengahan bulan depan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini