SHAH ALAM: Pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, (gambar) yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah antara saksi yang dicadangkan oleh pihak pembelaan untuk dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Semalam, Mahkamah Tinggi membebaskan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh mendiang Altantuya.
Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Ketua Inspektor Azilah Hadri, 32 tahun, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36 tahun, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.
Peguam Encik Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar, berkata pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, selain Raja Petra, pihaknya juga bercadang memanggil semula penyiasat persendirian, Encik P. Balasubramaniam, dan tertuduh sendiri untuk memberi keterangan di peringkat pembelaan.
Raja Petra dan Encik Balasubramaniam sebelum ini pernah mengikrarkan akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan mendiang Altantuya.
Peguam Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili tertuduh pertama, Ketua Inspektor Azilah, akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi termasuk Azilah dan teman wanitanya, Cik Nor Azila Baharuddin.
Kedua-dua tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Md Yasin, akan mula mendengar keterangan bela diri pada 10 November ini.
Sementara itu, bapa mendiang Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, kecewa dengan keputusan mahkamah yang membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan membunuh anaknya itu.
Encik Shaariibuu berkata, keputusan itu akan mencemarkan imej sistem kehakiman negara ini di peringkat antarabangsa kerana kes itu menjadi tumpuan dunia.
Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia untuk membuat rayuan keputusan kes itu. -- BHM, Utusan Malaysia.
FAKTA KES
Model warga Mongolia, Cik Altantuya Shaariibuu, 28 tahun, datang ke Malaysia pada 6 Oktober 2006 untuk menemui dan menghubungi penganalisis politik Abdul Razak Baginda.
Beliau dilaporkan hilang pada 19 Oktober lalu selepas dikatakan mengikut seorang yang dikenali sebagai Bala, yang menyatakan Abdul Razak ingin menemuinya.
Polis menemui mayat Cik Altantuya dalam keadaan berkecai dan berselerak di tepi Empangan Tasik Subang di Shah Alam, Selangor, pada 6 November 2006.
Mendiang dipercayai ditembak sebelum mayatnya diletupkan.
Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pada 1 November 2006 untuk membantu siasatan.
Abdul Razak ditahan untuk membantu siasatan pada 7 November 2006.
Perbicaraan kes itu bermula pada 4 Jun 2007.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment