Pages

Sunday, October 12, 2008

Tiga Mati, Seorang Parah Setelah Kereta Terbabas Dan Terbakar Di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 12 Okt -- Tiga lelaki maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan rentung di Kilometer 24 Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pemandu kereta Mohd Yusuf Kamarudin, 37, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta Proton Iswara yang dipercayai dipandu laju.

Dua lagi penumpang kereta itu, Mohd Khairi Zakaria, 26, dan Mohd Zabri Bukhari, 35, ditemui rentung di dalam kereta itu manakala seorang lagi penumpang yang turut tercampak keluar Mohd Rani Jantan, 54, parah di kepala selain melecur di bahagian kanan muka, tangan kanan dan kaki kiri.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor Supt Che Hussin Omar ketika dihubungi di sini berkata keempat-empat mangsa yang dipercayai nelayan tempatan itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Klang ke Jeram semasa kemalangan itu berlaku.

Katanya setibanya mereka di Kilometer 24, Jalan Klang-Teluk Intan, kereta yang dipandu Mohd Yusuf terbabas sebelum melanggar tembok konkrit di hadapan rumah penduduk dan pembentung di parit di tepi jalan itu.

"Pemandu tercampak kira-kira 20 meter daripada kereta itu sebelum kereta yang dipandunya terbakar ketika hujan lebat.

Kebakaran itu hanya dapat dipadamkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat kira-kira 15 minit kemudian," katanya.

Che Hussin berkata mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat manakala Mohd Rani kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini