Pages

Sunday, October 19, 2008

Penyatuan atas keikhlasan, ADUN PAS dan Umno berbesan

KOTA BAHARU: Berdasarkan sifat ikhlas dan kasih sayang terhadap anak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik dan ADUN Sungai Abong, Johor, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh bersedia mengenepikan perbezaan politik untuk berbesan.

Sikap terbuka itu menyaksikan Salleh Sheikh Ibrahim, 25, semalam diijabkabulkan dengan Ernie Muneerah Mohd Adhan, 25.

Majlis akad nikah pasangan mempelai itu berlangsung di rumah Mohd Adhan di sini.

Sheikh Ibrahim berkata atas dasar kasih sayang, agama dan bangsa, perbezaan politik dapat diketepikan jika ada keikhlasan di dalam hati untuk memastikan anakanak bahagia.

"Perkahwinan anak kami ini memang ketentuan tuhan, jadi untuk lihat dari aspek yang lebih luas seperti pertemuan PAS dan Umno, ianya bermula daripada keikhlasan untuk bangsa, agama dan negara," katanya.

Bagi Mohd Adhan, hubungan anak perempuannya dengan menantunya tidak perlu dihalang atas sebab perbezaan parti kedua-dua bapa, kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak dan sebaliknya mungkin memberikan kesan buruk.

"Sama dengan politik, kita tidak mahu mendapat susah kerana cuba menghalang sesuatu yang baik yang akhirnya membawa kesan kepada generasi akan datang," katanya.

Salleh dan Ernie Muneerah pernah bertemu sewaktu zaman persekolahan namun terpisah kerana pekerjaan keluarga.

"Tidak sangka pula saya akan bertemu semula sewaktu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika kami mengambil jurusan yang sama dalam kursus ijazah Biologi Molekul.

"Kami berkenalan rapat selama tiga tahun sebelum berkahwin hari ini (semalam)," kata Salleh dengan ceria. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini