Pages

Sunday, October 19, 2008

KRISIS KEWANGAN TIDAK JEJAS AL-QAEDA

KAHIRAH: Krisis kewangan dunia mungkin tidak menjejas rangkaian pengganas Al-Qaeda.

Al-Qaeda dan kumpulan militan yang lain dipercayai mendapat sumber dana yang ada kaitan dengan hasil minyak di Teluk dan pengedaran dadah di Afghanistan. Oleh itu mereka tidak terjejas dengan krisis kewangan dunia.

Satu daripada sebab utamanya ialah kerana mereka terpaksa mengelak diri daripada berurusan dengan pihak bank, dan lebih bergantung pada cara lain untuk memindahkan wang.

Kaedah berkenaan, termasuk wang yang dibawa secara peribadi dan menggunakan kaedah pemindahan yang dipanggil hawala, besar kemungkinan melindungi kumpulan militan itu daripada krisis kewangan sekarang.

Namun, kaedah itu lebih lambat dan kurang cekap, sekali gus boleh menghambat usaha mereka hendak melancarkan serangan, kata para penganalisis.

'Adalah mustahil mereka dapat memindahkan wang yang begitu banyak menerusi sistem kewangan formal disebabkan adanya kawalan,' kata Encik Ibrahim Warde, seorang pakar pembiayaan pengganas di Universiti Tufts.

Persoalan dari mana Al-Qaeda dan penyokong mereka mendapat wang merupakan perkara yang amat penting dalam usaha mencegah serangan pengganas.

Satu siasatan Amerika Syarikat pada 2004 mendapati bahawa beberapa bank di Amiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa sedar mengendalikan sebahagian besar daripada AS$400,000 ($593,000) yang dibelanjakan untuk serangan 11 September di New York dan Washington.

Selepas serangan itu, Amerika cuba menggunakan teknik penguatkuasaan undang-undang bagi menghancurkan rangkaian dana pengganas.

Namun, beberapa penderma kaya dan badan kebajikan Islam di negaranegara Teluk, terutama di Arab Saudi, masih menjadi 'sumber pembiayaan secara haram kegiatan pengganas', kata Encik Matthew Levitt, bekas pakar pengganas di Jabatan Perbendaharaan Amerika, yang kini bertugas dengan Institut Washington bagi Dasar Timur Dekat (Winep).

Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) percaya Al-Qaeda dan Taleban mendapat biaya sebesar AS$800 juta daripada pengedaran dadah berjumlah AS$4 bilion setahun di Afghanistan. -- AP.


No comments:

Posting Terkini