Pages

Thursday, October 9, 2008

Pembangkang Kemuka Tarikh Baru Tukar Kerajaan

KOTA BAHARU, 9 Okt (Bernama) -- Sebelum Mac tahun depan.

Itulah tarikh baru yang ditetapkan oleh pembangkang bagi memenuhi cita-cita mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional setelah rancangan awalnya menubuhkan kerajaan pada 16 Sept lepas gagal terlaksana.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata peralihan kuasa antara Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac tahun depan akan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat melaksanakan agenda mengambil alih kerajaan pusat sebelum tarikh itu.

Katanya walaupun perkembangan terbaru yang berlaku dalam Umno adalah masalah rumahtangga parti itu, keputusan Abdullah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dan menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada Najib pada Mac nanti akan tetap memberi kesan kepada pentadbiran dan pengurusan serta ekonomi dan politik negara.

"Saya rasa Umno sekarang parah, Pak Lah (Abdullah) dah umum Datuk Seri Najib yang ganti, tapi itu tak menjamin kestabilan dalam Umno kerana terlalu banyak yang tawar diri untuk bertanding sama ada di peringkat timbalan, naib presiden," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri anjuran Pas di sini, Khamis.

Salahuddin berkata dengan perkembangan terbaru itu, Pakatan Rakyat yakin kepercayaan rakyat kepada pembangkang akan bertambah.

"Dengan turunnya Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, ini menambah keyakinan kami bahawa peluang untuk ambil alih kuasa itu masih tetap ada dan berjalan seperti biasa. Dalam mesyuarat peringkat tertinggi PR kita telah putuskan ini masa terbaik untuk kita buat serangan.

"Apa yang kita cakap ni, dalam masa terdekat dapat disempurnakan. Kita yakin bahawa sebelum peralihan kuasa perdana menteri-timbalan perdana menteri berlangsung sebelum Mac ini, saya rasa ini masa terbaik untuk melaksanakan agenda kita," katanya.

Sebelum ini, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya beliau mempunyai senarai nama sekurang-kurangnya 30 Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional yang akan menyertai pembangkang bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pada 16 Sept lepas.

Sehingga hari ini, beliau gagal mengumumkan senarai nama itu.

No comments:

Posting Terkini