Pages

Friday, October 24, 2008

Ning-Vernon 'berpisah' selepas 8 tahun


SELAMAT TINGGAL... Ning dan Vernon ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur semalam. - foto The Star oleh ANDREW CHONG

DEMI memulakan episod baru dalam karier, penyanyi Ning Baizura Hamzah kini tekad menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan mana-mana pengurus.

Malah, dia dan bekas pengurusnya, Vernon Kedit juga bersepakat untuk membubarkan Ning & Associate mulai semalam.

Semasa sidang media di Restoran Amarin Thai, Mid Valley, wajah Ning mahupun Vernon kedua-duanya tampak sugul seakan-akan menyembunyikan sesuatu.

Namun, apabila ditanya, kedua-duanya memberikan reaksi positif dan mengatakan mereka 'OK'.

Wanita berusia 33 tahun itu terlebih dahulu memulakan bicaranya manakala Vernon lebih banyak berdiam diri.

"Selama 16 tahun dalam bidang seni, saya telah lalui berbagai pengalaman, pahit manis, positif dan negatif.

"Alhamdulillah saya sentiasa bersyukur kerana dikurniai oleh Allah dengan bakat yang seadanya, kematangan, keyakinan, kekuatan dan keinginan untuk sentiasa menambahkan ilmu untuk terus berjaya dalam bidang yang sangat saya sayangi ini.

"Saya amat berterima kasih kerana dapat melakukan semua itu dengan adanya seorang sahabat, abang, rakan bisnes dan pengurus seperti Vernon Kedit.

"Hasil dari segala tunjuk ajar, kasih sayang, semangat yang dia berikan dan segala pengalaman yang kami timba bersama selama lapan tahun telah memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk berdikari.

"Dengan ini, saya dan Vernon telah bersepakat untuk membubarkan Ning & Assoc. yang kami sayangi demi memulakan episod baru dalam kerjaya kami masing-masing.

"Ning & Assoc. yang kami bina bersama akan sentiasa menjadi tanda kejayaan Vernon Kedit dan Ning Baizura," beritahu Ning panjang lebar.

Bukan itu sahaja, transkripsi yang sudah tertulis apa yang ingin dikatakan seterusnya membuatkan semakin banyak pertanyaan yang bermain diminda semua yang mendengarnya.

"Artiste United Records juga telah saya serahkan bulat-bulat kepada Vernon dan sesungguhnya saya yakin artis-artis di bawah naungan label ini akan terus berjaya dengan segala bimbingan dan tunjuk ajar seorang yang berkaliber seperti Vernon. Tentunya mereka akan mendapat yang terbaik yang pernah saya sendiri peroleh bersama beliau dulu.

"Saya percaya, di lubuk hati Vernon, beliau pasti berbangga dengan kekuatan, keberanian dan azam saya untuk menguruskan kerjaya saya sendiri mulai sekarang. Namun ini tidak bermakna kami tidak akan bekerjasama lagi kerana industri ini kecil dan kami akan selalu menyokong antara satu sama lain.

"Dari itu, dengan secara rasmi, saya ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini, saya mulakan tanggungjawab utama saya iaitu menguruskan dan mengendalikan persembahan-persembahan saya sendiri. Ini bererti, sesiapa yang ingin menjemput saya membuat persembahan, sila hubungi nombor 012-2293 144 atau emel ke ningbaizura@rocketmail.com," tambah Ning lagi sekaligus menguatkan andaian yang dia memang tidak akan bersama Vernon lagi.

Menurut Ning, peminatnya juga boleh melayari laman web Facebook Ning Baizura Hamzah Dalton untuk mengetahui perkembangan mengenainya.

Secara kasar, tampak mudah sahaja Ning melafazkan yang dia tekad untuk menguruskan kerjaya seorang diri tanpa bantuan seorang pengurus.

Namun, mungkin hakikatnya di kemudian hari masih belum tentu. Bagaimnapun, Ning seakan-akan yakin penuh untuk melakukannya.

"Sedangkan kerajaan kita pun berubah. Jadi, saya ingin berikan sesuatu yang baik dan mencabar diri saya. Saya telah lalui alam rumahtangga dan keutamaan saya sudah berlainan sedikit.

"Saya mahu lebih berkaliber dan ceburi bidang ini sendiri. Lagipun, saya telah banyak belajar daripada Vernon dan pengurus sebelumnya. Tetapi, tidak banyak yang mengajar seperti apa yang Vernon ajarkan kepada saya sebelum ini.

"Dah lama saya fikirkan perubahan tetapi masa tidak sesuai ketika itu. Saya nak terangkan yang saya bukan nak jadi 'kacang lupakan kulit'. Spekulasi luar tak betul. Saya sokong 100 peratus apa yang Vernon lakukan," jelas penyanyi yang kini tampil dengan album Inggeris, East To West.

Jawap Ning mengenai tekadnya bergerak sendiri, cuma dia dan Vernon yang tahu hal sebenarnya dan sebolehnya dia tidak mahu berkongsikan hal tersebut dengan umum.

"Ini merupakan suatu bisnes. Untuk melahirkan artis baru, kita kena uruskan mereka sebaik mungkin. Saya langsung tidak mempunyai niat mencemburui Nikki dan Nubhan sebab mereka artis baru dan perlukan sokongan.

"Semua yang berlaku ini telah tertera dan inilah masanya untuk berubah. Mungkin ada yang sedih tetapi kita kena buka buku baru," katanya.

Jika ingin menguruskan kerjaya sendiri sekalipun, masakan terus mengambil keputusan untuk membubarkan Ning & Associate serta menyerahkan Artiste United Records yang kini tinggal Nikki dan Nubhan AF6 kepada Vernon.

Mendengarkan persoalan tersebut, Ning terdiam seketika dan hanya tersenyum. Begitu juga dengan Vernon.

"Ada beberapa faktor yang pro dan kontra. Saya mengenalinya sejak lapan tahun lalu dan kami memulakan bisnes sejak lima tahun lalu. Pada tahun pertama, kedua dan ketiga, semuanya berjalan dengan baik dan meningkat, tetapi sejak dua tahun berikutnya jatuh sedikit," cerita Ning yang mengambil keputusan untuk melakukan pembaharuan itu sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Walaupun Ning sudah tiada kaitan dengan Artiste United Records lagi, dia tetap akan memberikan nasihat kepada Nikki dan Nubhan dalam penghasilan album mereka dan sebagainya.

Dalam pada itu, Vernon yang telah menguruskan Ning sejak tahun 1999 lalu berkata, dia bersedia menerima Ning semula sekiranya inginkan khidmatnya sebagai pengurus dan juga menubuhkan Ning Associate.

"Saya berterima kasih kepada Ning dan satu tanggungjawab yang besar untuk saya menguruskan syarikat itu. Dalam masa yang sama, saya akan menguruskan Nikki dan Nubhan dengan sebaik mungkin serta menyokong untuk kejayaan mereka. Saya juga menyayangi Ning seperti adik saya. Mengenalinya, Ning seorang yang kuat semangat.

"Sekarang, setiausaha Ning Associate telah mulakan proses untuk menutup label tersebut. Secara dasarnya, Ning Associate masih wujud tetapi tidak beroperasi sebagai sebuah syarikat lagi. Pembubaran ini mungkin mengambil masa selama enam bulan hingga setahun. Bagi pihak saya, semua bisnes yang dilakukan selepas ini adalah untuk artis," tutur Vernon.

Sementara itu, ibu Ning, Satilah Abdullah ketika ditemui turut menyokong apa yang dilakukan oleh anaknya itu.

"Dia sudah mempunyai disiplin, pengalaman serta sokongan daripada suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton dan keluarga, jadi dia cuma perlu mempunyai keberanian untuk bergerak sendiri," katanya.

Salah seorang anak didik Ning, Nikki yang dihubungi selepas itu turut berkongsi reaksinya selepas mendengar berita tersebut.

"Saya berasa sedih sebab kami tidak akan dapat berjumpa sekerap yang dulu. Namun, saya percaya pihak pengurusan dan kebolehan Vernon dapat membantu saya dalam karier ini.

"Saya perlu bergantung kepada usaha sendiri. Kalau saya berada di bawah didikan Ning, saya akan berjaya. Tetapi saya tidak akan naik juga jika tidak bekerja keras. Sekarang saya tidak mahu fikirkan siapa yang tinggalkan siapa dan mahu tumpukan album kedua saya yang bakal muncul pada November depan," ulas Nikki yang akan tampil dengan single Selamat Tinggal ciptaan Pam Yuen dan lirik oleh Imran tidak lama lagi.

No comments:

Posting Terkini