KUALA LUMPUR, 19 Okt -- Buat pertama kali dalam sejarah MCA sejak penubuhannya 59 tahun lalu, Datuk Dr Ng Yen Yen menjadi wanita pertama memenangi jawatan naib presiden MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-55 MCA di ibu pejabat parti itu di Wisma MCA di sini, Sabtu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu yang meraih undi ketiga tertinggi bagi jawatan itu, juga merupakan calon wanita pertama pernah memenangi kedudukan yang begitu tinggi dalam gabungan Barisan Nasional (BN).
Dr Ng meraih 1,659 undi. Selain Dr Ng, timbalan menteri kewangan Datuk Kong Cho Ha mendapat 1,798 undi, menteri kesihatan Datuk Liow Tiong Lai (1,725) dan Tan Kok Hong (1,329) untuk tiga lagi jawatan naib presiden.
Kira-kira 2,378 perwakilan mengundi pada pemilihan parti di perhimpunan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Ng yang mempunyai pengalaman berkhidmat 35 tahun dalam parti berkata kemenangannya adalah detik paling bersejarah baginya.
"Sejak MCA ditubuhkan 59 tahun lalu, belum pernah ada wanita bertanding dan memenangi jawatan naib presiden.
"Ini akan menjadi trendsetter dan tandaras bagi seseorang wanita dalam parti untuk terus memegang dan memenangi kedudukan pemimpin pada masa depan.
"Kemenangan saya jelas menunjukkan bahawa masa depan wanita dalam memegang jawatan tinggi dalam parti semakin cerah," kata Dr Ng.
Kepada satu soalan, Dr Ng berkata beliau akan mengadakan perbincangan kerap di peringkat Jawatankuasa Pusat bagi meningkatkan kesedaran di kalangan wanita untuk menyertai politik.
"Saya ingin melihat lebih ramai perwakilan wanita dari parti berusaha dari sekarang untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden," kata beliau.
Dr Ng, anggota Parlimen Raub, mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilih beliau.
Sementara itu, Kong yang mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden berkata jawatannya sebagai timbalan menteri tidak pernah mempengaruhi undian untuknya.
"Terima kasih kepada semua perwakilan yang mempunyai keyakinan terhadap kebolehan saya. Ini adalah permulaan satu tanggungjawab untuk saya menyumbang lebih banyak untuk parti ini kerana tugas dan cabaran kita amat berat sekali terutamanya selepas kalah teruk pada pilihan raya lepas," katanya.
Beliau juga berharap calon yang tidak berjaya dalam pemilihan parti itu dapat sama-sama memberi sokongan kepada pemenang bagi menghadapi cabaran akan datang.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment