KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac depan.
Pengumuman Najib itu dibuat pada majlis Aidilfitri bersama kepimpinan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan pemimpin masyarakat semua peringkat di di sini, petang ini.
"Sehubungan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan).
"Saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab, ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno," kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno.
Najib, yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini pagi ini sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu. Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno.
Semalam, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac tahun depan sekaligus memberi laluan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.
Abdullah, yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden Umno yang baru pada pemilihan parti kirakira enam bulan lagi, mahu timbalannya itu, mengambil alih kepimpinan Umno, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.
Proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada timbalannya itu, sebelum ini ditetapkan dilakukan pada Jun 2010. Bagaimanapun, atas desakan anggotaanggota Umno, ia dipercepatkan pada Mac tahun depan.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Najib berkata dengan sokongan daripada akar umbi dan para perwakilan parti, beliau berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan Umno dengan pembaharuan-pembaharuan yang disebutkan Perdana Menteri semalam.
"Saya percaya bahawa pengumuman ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli Umno berganding bahu untuk memantapkan lagi parti," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini juga secara rasmi mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan tersebut.
Beliau melahirkan keyakinan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.
"Kesemua 22 bahagian di Selangor akan menyokong pencalonan jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perhubungan Umno Selangor di sini.
Selain Muhammad, antara yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Esok, Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan buat pengumuman bertanding jawatan nombor dua parti itu.
Menurut Muhammad hasratnya untuk bertanding adalah kerana ingin membantu Presiden parti memperkasakan dan memulihkan kekuatan Umno untuk menjadi satu-satunya parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
"Saya menyandarkan tawaran saya kepada rekod kesetiaaan dan perkhidmatan kepada parti, kerajaan dan rakyat untuk dipilih sebagai orang nombor dua dalam parti," katanya.
Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata ini merupakan kali pertama seorang calon daripada Selangor bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Beliau juga memaklumkan, Umno negeri itu menyokong pencalonan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden Umno Malaysia.
Jelasnya, nilai kesetiaan dan keserasian di antara orang nombor 1 dan 2 penting untuk memberi kestabilan politik parti dan negara.
"Sejarah kita lihat keserasian nombor satu dan dua..ada masa nombor satu dan dua tak boleh serasi dan ini boleh bawa bencana kepada parti dan telah berlaku dalam parti berkali-kali," katanya.
Muhammad berkata beliau menawarkan diri sebagai pemimpin yang boleh membawa keserasian dalam parti berdasarkan rekodnya yang ‘tak pernah melawan ketua’.
“Insya-Allah jika saya dicalonkan dan dipilih, saya menawarkan kestabilan politik, semangat berpasukan dan setia bagi sama-sama membantu Presiden memartabatkan semula Umno yang selama ini menjadi payung kepada orang Melayu dan rakyat di negara ini,” katanya.
Tambahnya, ahli-ahli Umno harus diberi kebebasan untuk menentukan calon nombor dua dalam parti untuk membawa kestabilan dan kebaikan kepada parti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment