Pages

Friday, October 31, 2008

Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Abdullah Baginda



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Selepas dibebaskan, Abdul Razak hanya berkata, "saya mahu pulang ke rumah."

Sebentar tadi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membukti kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Bagaimanapun Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Mohd Zaki mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mula bersidang pukul 9.35 pagi tadi.

Kes berprofil tinggi itu berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, melibatkan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi.

Ia merupakan dua kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian hari ini.

Satu lagi ialah kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah pada 9 pagi.

Sungguhpun pintu mahkamah hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi, namun wakil media tempatan dan luar negara serta orang ramai berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 5.30 pagi bagi memastikan mereka dapat masuk ke dalam mahkamah kerana ruang galeri awam hanya boleh menampung kirakira 50 orang.

Bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, yang memakai suit biru gelap tiba pada pukul 8.50 pagi bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan Duta Mongolia ke Thailand yang juga ditauliahkan ke Malaysia, Siikhuu Saisainbileg.

Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Karpal Singh tiba pada pukul 8.57 pagi.

Ibu bapa Abdul Razak tiba pada pukul 8.51 pagi diikuti anak perempuan Abdul Razak, Rowena tiga minit kemudian manakala isteri Abdul Razak Mazlinda Makhzan tiba pada pukul 9 pagi.

Anggota keluarga Azilah dan Sirul Azhar masing-masing tiba 7.20 pagi. Azilah dan Sirul Azhar masih memakai penutup muka ala Ninja bagi menyembunyikan wajah mereka daripada orang ramai.

BERITA TERDAHULU

Pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara dan Shah Alam, Selangor menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi ini untuk mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi - melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tinjauan mStar Onlinedi kawasan pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati orang ramai termasuk saudara-mara tertuduh kes pembunuhan Altantuya sudah mula berkumpul sejak 7.30 pagi.

Begitu juga di kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Bapa Altantuya turut hadir, kira-kira pukul 8.50 pagi.

Berbanding di Shah Alam, bilangan orang yang mula berhimpun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur sejak 7.30 pagi tadi tidak ramai berbanding ketika Ogos lalu.

Anwar tiba di kawasan mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan diiringi peguam Sankara Nair.

Turut hadir untuk mengikuti kes Anwar ialah bekas penulisan ucapan beliau. Dr. Munawar Anees.

Semalam Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Munawar agar mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya serta menyerahkan rayuan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya dihujah berdasarkan merit.

Pihak keselamatan mula membenarkan wartawan masuk ke kamar mahkamah sejak pukul 8.30 pagi di kedua-dua lokasi - di Jalana Duta, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Di Shah Alam, Mazlinda Makhzan - isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh, tiba kira-kira 8.55 pagi dan disusuli Razak lima minit kemudian.

Apabila tiba di kawasan mahkamah, Mazlinda terus memeluk Razak dan menangis.

Keluarga tunang seorang lagi tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri tiba pukul 7.15 pagi.

Bagi kes pembunuhan Altantuya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin dijadual menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan tersebut iaitu sama ada ketiga-tiga tertuduh perlu dipanggil untuk membela diri ataupun sebaliknya.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar (keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babakbabak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lalu.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu, perbicaraan kes Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berasa di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

mSTAR

No comments:

Posting Terkini