Pages

Monday, October 13, 2008

Kos Pulih Ekonomi RM12.5 Bilion Ketika Krisis Kewangan 1997/1998

KUALA LUMPUR, 13 Okt-- Kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi melalui Danaharta ketika krisis kewangan sepuluh tahun lalu berjumlah RM12.5 bilion, kata Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Kos itu rendah, iaitu tiga peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 52.3 peratus di Indonesia, 23.1 peratus di Korea Selatan dan 34.8 peratus di Thailand, katanya.

Nor Mohamed berkata kerajaan juga telah mengutip semula RM7 bilion peruntukkan di bawah Danamodal bagi permodalan semula bank-bank yang terlibat ketika itu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang antara lain ingin mengetahui tentang kesan serangan ke atas ekonomi negara 10 tahun lalu, pihak yang terlibat dan langkah balasan yang boleh diambil terhadapnya.

Mesyuarat ketiga, penggal pertama, Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat bermula Isnin.

Nor Mohamed yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor turut menyatakan "tiada tangan ghaib" yang muncul setiap sepuluh tahun untuk memporakperandakan sistem ekonomi dan kewangan negara.

"Kekerapan krisis dalam ekonomi dunia adalah berasaskan kepada kelemahan sistem liberal kapitalisme yang diutarakan oleh negara Amerika Syarikat," katanya.

"Dalam model sistem liberal kapitalisme, apa yang disarankan adalah mengurangkan kawal selia dan mengurangkan peranan kerajaan dalam ekonomi serta melaksanakan penswastaan secara besar-besaran, termasuk menjual aset negara kepada pihak luar."

Yang jelas, katanya sistem itu tidak boleh dikekalkan dan perlu mencari alternatif baru untuk mewujudkan infrastruktur kewangan yang lebih adil dan saksama.

"Kita juga sedar bahawa dalam sistem kewangan global pada hari ini, 80 peratus daripada simpanan global digunakan oleh Amerika Syarikat."

"Sebenarnya, Amerika Syarikat meminjam AS$3 bilion (AS$1=RM3.494) setiap hari kerja kerana kadar simpanan penduduknya adalah negatif."

Oleh itu, katanya bagi mengelakkan krisis dunia kewangan muncul dengan kerap pada masa hadapan, keutamaan patut diberi kepada satu kaedah baru di mana simpanan yang begitu besar oleh negara Asia dan negara pengeluar minyak perlu digunakan di rantau ini.

Dalam konteks ini katanya Malaysia telah mencadangkan satu mekanisme diwujudkan untuk membiayai infratsuktur di rantau ini.

"Dalam hubungan ini, satu seminar akan diadakan pada Nov 10, 2008 di Kuala Lumpur untuk membolehkan negara-negara yang mempunyai sumber simpanan yang besar membiayai pembinaan infrastruktur di negara yang sedang membangun," katanya.

Antara lain, Nor Mohamed berkata Malaysia perlu mempersiapkan dan memperlengkapkan diri setiap masa supaya negara dapat menangani dan menangkis krisis kewangan yang akan berlaku pada masa hadapan.

"Tidak syak lagi pada masa hadapan kita akan berhadapan dengan krisis yang akan datang dalam pelbagai polar atau bentuk yang berlainan. (Oleh itu) kita perlu mempunyai satu sistem ekonomi yang fleksibel untuk menghadapi cabaran ini."

Menjawab soalan tambahan dari Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) tentang faktor politik dalaman seperti "penubuhan kerajaan baru oleh Parti Keadilan Rakyat dari pintu belakang" akan menjejaskan ekonomi negara, Nor Mohamed berkata sistem politik yang tidak stabil akan memberi banyak masalah dari segi penarikan pelaburan.

"Kita harus mempunyai sistem politik yang stabil," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini