KUALA LUMPUR, 13 Okt-- India akan menubuhkan sebuah pusat kebudayaan India serba lengkap di Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Kaum India Di Luar Negara dan Hal Ehwal Parlimen India Vayalar Ravi hari ini.
Bercakap kepada pemberita pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia di sini, Isnin, beliau berkata Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia sedang mengambil langkah bagi menubuhkan pusat itu awal tahun depan.
Ravi berkata kementerian Hal Ehwal India Di Luar Negara juga menubuhkan Pusat Pemudah Cara bagi Kaum India Seberang laut (OICF), yang akan bertindak sebagai pusat sehenti bagi memberi penerangan dan bantuan kepada masyarakat India luar negara yang berminat mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi India.
Katanya OICF memilih Kuala Lumpur sebagai tuan rumah mesyuarat pelabur serantau pada awal 2009, yang akan memberi fokus terhadap peluang yang boleh diraih dalam bidang pembangunan prasarana, penjagaan kesihatan, hartanah, teknologi maklumat dan sebagainya di India.
Ravi berkata baru-baru ini, kementerian itu juga mewujudkan Program Biasiswa Bagi Anak-anak Diaspora (SPDC) untuk mereka yang ingin melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi dan universiti teknikal di India.
Program itu meliputi bantuan perbelanjaan tahunan berjumlah hingga AS$3,600 bagi setiap pelajar, katanya.
Beliau seterusnya mempelawa pelajar Malaysia berketurunan India yang berkelayakkan untuk memohon bagi mengikuti skim itu.
Ravi berkata satu pesta pendidikan dan kemahiran akan diadakan di Malaysia tahun depan bagi memberi penerangan kepada orang ramai tentang peluang baru yang terdapat dalam sektor pendidikan tinggi di India.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment