PUTRAJAYA: Harga petrol dan diesel di negara ini mungkin akan turun lagi akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, hari ini.
Beliau berkata ini berikutan trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.
Minyak mentah dunia mencatatkan harga AS$69.85 setong semalam berbanding AS$77.70 setong pada 12 Oktober lalu.
Beliau berkata tindakan menurunkan harga minyak kini lebih mudah kerana ia tidak perlu lagi dibawa kepada Kabinet, sebaliknya mesyuarat beberapa menteri dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Harga minyak di pam sudah turun tiga kali sejak Ogos lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir, 15 Oktober.
Harga petrol Ron97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.
Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.
Kerajaan, katanya, tidak boleh menurunkan harga minyak secara mendadak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna.
Sebelum ini, Shahrir pernah membayangkan harga minyak di pam boleh kembali ke harga asal sebelum 5 Jun iaitu RM1.92 seliter sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah AS$72 setong. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment