KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Parti Gerakan perlu meningkatkan jumlah anggota dari kalangan kaum bukan-Cina sekurang-kurangnya 30 peratus bagi membolehkan ia menampilkan imej sebuah parti berbilang kaum, kata penolong setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan K.K. Supramaniam.
Menurutnya oleh kerana jumlah perwakilan dari kalangan kaum bukan-Cina dalam parti Gerakan tidak menampakkan ia sebagai sebuah parti berbilang kaum, program-program bagi menarik penyertaan kaum bukan-Cina ke dalam parti itu perlu diperhebatkan.
Beliau yang merupakan salah seorang daripada 40 calon yang menawarkan diri untuk menjadi calon bagi menganggotai Jawatankuasa Pusat (CC) parti berkata daripada 2,085 perwakilan, parti itu hanya mempunyai 98 perwakilan bukan-Cina, iaitu tidak sampai 4.8 peratus.
"Parti Gerakan hanya boleh menganggap diri sebagai benar-benar sebuah parti berbilang kaum apabila terdapat lebih ramai perwakilan bukan-Cina menyertai parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan makalah bertajuk 'Road Map to Political Recovery' terbitan parti itu di sini, Khamis.
Supramaniam berkata tempoh perkhidmatan presiden parti juga perlu dihadkan kepada tiga hingga 10 tahun bagi membolehkan ahli-ahli politik muda menawarkan khidmat mereka kepada perti.
Awal bulan ini, buat pertama kali sejak parti Gerakan ditubuhkan pada 1968, setiausaha Gerakan bahagian Kuala Selangor Dr Asharuddin Ahmad, 49, menjadi anggota pertama dari kaum Melayu yang dicalonkan untuk bertanding ke jawatan naib presiden bagi parti yang didominasi kaum Cina itu, pada pemilihan akan datang yang dijadualkan pada 11 Oktober ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment