Pages

Saturday, October 11, 2008

Gerakan akan kekal bersama BN bantu perubahan

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan menawarkan parti itu sebagai bahan eksperimen kepada sesiapa yang ingin bekerja dalam parti berbilang kaum, kata Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon.

"Gerakan akan berada dalam BN dalam waktu ini, membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melakukan perubahan dalam BN," katanya kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-37 oleh Perdana Menteri, di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Dengan kenyataan itu, ia sekaligus menamatkan persoalan sama ada Gerakan akan keluar dari BN dan menunjukkan pada waktu ini, Gerakan akan tetap bersama Barisan Nasional.

Dengan menggelar Abdullah sebagai Bapa Demokrasi, Koh berkata, Gerakan menyokong penuh komitmen Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN untuk meneruskan pelbagai perubahan.

Koh berkata, cadangan Perdana Menteri untuk menubuhkan kumpulan keahlian langsung BN tanpa perlu menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen adalah satu sokongan atas apa yang dilaksanakan Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum.

Pada masa yang sama, Koh berkata, Gerakan akan bergerak lebih aktif dalam mengambil ahli-ahli baru daripada semua kaum termasuk meneroka idea untuk menubuhkan cawangan-cawangan baru termasuk cawangan siber yang memerlukan pindaan kepada perlembagaan parti.

"Cawangan-cawangan siber akan membenarkan kita mengambil anak Malaysia daripada luar negara termasuk dari Amerika dan Eropah memandangkan ia tanpa sempadan," katanya. mSTAR

No comments:

Posting Terkini