Pages

Tuesday, October 14, 2008

Anwar bahas Bajet 6 jam, Najib tolak belanjawan baru

KUALA LUMPUR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kembali ke Parlimen selepas 10 tahun, mengambil masa hampir enam jam untuk membahaskan Bajet 2009, dan hari ini beliau menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa memperlekehkan hujahnnya menggesa belanjawan tahun depan itu dibentangkan semula.

"Saya harap sebelum berakhirnya belanjawan ini, Menteri Kewangan akan peka denagn masalah ini.

"Tidak ada guna menggunakan media untuk memperlekeh hujah kita... seperti yang dilakukan beberapa Yang Berhormat dengan kerjasama RTM semalam. "Kita telah kemukakan (hujah) dan kita minta dibahas secara sopan dan beradab, tidak biadab," kata beliau yang menyambung perbahasannya hari ini.

Anwar merupakan Menteri Kewangan sehingga 1998, tahun beliau dipecat daripada jawatan kerajaan dan parti.

Dalam kapasiti itu beliau pernah membentangkan ucapan-ucapan belanjawan yang biasannya memakan masa kira-kira dua jam.

Kali ini beliau mengambil masa hampir enam jam.

Kini, selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Anwar memulakan ucapan perbahasan pukul 11.30 pagi semalam dan disambung hingga tengah hari ini. Anwar hari ini sekali lagi menegaskan, Bajet 2009 perlu diberi pertimbangan segera disebabkan krisis yang melanda yang menuntut satu perubahan dan pindaan.

"Maknanya itu pendapatan negara dari minyak sahaja pada tahun 2009 akan terus berkurangan, tidak termasuk lagi kelapa sawit dan getah," katanya.

Dalam reaksi segera hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan Anwar itu, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, bukan cadangan yang sesuai dipertimbangkan dalam menangani krisis kewangan semasa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, yang penting ialah kerajaan memastikan perbelanjaan kerajaan dapat dijalankan tanpa gangguan, dan segala program untuk membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam Bajet 2009, dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Ini termasuk usaha kita untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang telah dicadangkan. Kirakira 150,000 rakyat miskin dan berpendapatan rendah akan mendapat manfaat hasil program ini," katanya kepada pemberita di Parlimen.

Malah, Anwar juga dibidas kerana mendesak kerajaan mengemukakan Bajet 2009 yang baru memandangkan ia perlu dibahas bagi memastikan segala perancangannya terlaksana demi rakyat.

Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang dipetik Bernama berkata, Bajet 2009 merupakan bajet prihatin yang menggariskan beberapa strategi untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

"Saya pelik apabila (Yang Berhormat) Permatang Pauh mengatakan Bajet ini ditolak kerana unjuran pendapatan dan defisit sudah berubah tetapi dia sendiri berbahas hampir enam jam.

"Yang lebih penting pada kita adalah Bajet 2009 merupakan satu anggaran yang boleh dikaji semula berunsurkan kepada perancangan dan ia patut dilaksanakan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 di sini hari ini.

Mohd Puad juga menafikan dakwaan Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, bahawa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) hanya menjadi "hamba" atau "pak turut" kepada kerajaan kerana membahaskan bajet yang sudah lapuk.

"Tidak boleh dikatakan bahawa anggota Parlimen BN ini pak turut, kita perlu bahas Bajet ini kerana ia boleh dikaji semula dan pelaksanaannya akan dilaksanakan atau tidak," katanya.

Beliau juga kecewa kerana apa yang dibahaskan Anwar semalam yang mengkritik soal ekonomi negara dan politik pernah beliau lalui semasa dalam kerajaan dahulu.

"Saya sebenarnya sukar untuk bersetuju dengan Permatang Pauh kerana apa yang dikatakan oleh beliau juga berlaku ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.

"Kita harus cari jalan, ini penting sebab itu saya kata jangan kritik isu yang sebenarnya berlaku ketika (Anwar) berkuasa dulu," katanya.

Perbahasan beliau kemudian menjadi hangat sedikit apabila membangkitkan isu mengenai penyokong Hindraf yang membuat kekecohan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet di PWTC awal bulan ini.

"Hindraf sekarang buat tuntutan yang bukan-bukan ini jelas sekali pada majlis rumah terbuka. Datanglah dengan bersopan, bayangkan jika saya ganggu Deepavali Padang Serai (N. Gobalakrishnan) tentulah marah kerana ini ada kaitan dengan agama boleh menyinggung perasaan orang Islam," kata Mohd Puad.

Kenyataannya itu menyebabkan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangun meminta penjelasan bahawa para penyokong tersebut datang dengan niat yang baik untuk menghantar kad dan mengucap Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri.

"Penyokong tidak datang untuk ditindas atau menyinggung perasaan. Bila orang pergi ke satu jamuan dengan niat yang baik dan beri kad Hari Raya kenapa perlu ditindas dengan keras," katanya.

Mohd Puad kemudian menjawab dengan berkata: "Sebab itu kita dengar penjelasan daripada Perdana Menteri, yang ucap Selamat Hari Raya cuma seorang, yang datang ramairamai kemudian rempuh laluan buat apa. Carilah suasana yang lebih sesuai."

mstar

No comments:

Posting Terkini