Pages

Sunday, September 28, 2008

WOW! MARINA BAY MENGAUM

SETELAH lebih setahun merancang, membangunkan prasarana perlumbaan dan memasarkan Grand Prix Singapura kepada dunia, litar Marina Bay akhirnya mula bernyawa dengan dua sesi latihan semalam.

Sesi pertama bermula tepat pada 7 malam dengan kereta pertama Formula Satu (F1) meninggalkan lorong pit untuk membakar litar Marina Bay buat pertama kali.

Deruman bunyi enjin kereta F1 itu disusuli petikan kamera ribuan penonton di Pit Grandstand yang merupakan galeri penonton di garisan permulaan litar.

Lantas, para penonton itu menjadi antara peminat pertama yang menyaksikan kereta-kereta pecut F1 berlumba di Kota Singa ini, sekali gus menjadi sebahagian lipatan sejarah negara.

Para peminat F1 tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan insiden 'drama' pertama perlumbaan Singapore Grand Prix.

Kurang setengah jam selepas sesi latihan pertama, pemandu pasukan Red Bull, Mark Webber, terbabas di salah sebuah selekoh, sekali gus menamatkan sesi latihan beliau.

Sebelum sesi latihan itu, keghairahan para penonton diisi menerusi beberapa sesi latihan perlumbaan sampingan.

Sesi latihan Formula BMW Pacific membuka tirai hari pertama perlumbaan pada 3 petang, disusuli sesi latihan Piala Asia Aston Martin dan kemudiannya Piala Asia Porsche Carrera.

Di sekitar litar, suasana pesta begitu dirasa dengan para penonton bertali arus melawat gerai-gerai barangan F1 yang terletak di beberapa lokasi di serata litar.

Peragawati Ukraine, Cik Katya, 17 tahun, nampak ceria meskipun baru tiba di Singapura pagi semalam.

'Saya seronok berada di Singapura untuk sama-sama mencipta sejarah,' katanya, yang melawat Singapura bersama teman lelakinya.

Antara mereka ialah teman sekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Annie, 35 tahun, dan Cik Yuli, 31 tahun.

Mereka ditemui semasa sibuk membeli-belah cederahati F1 sebelum sesi latihan bermula.

'Kami bukan peminat F1, hanya datang untuk melihat-lihat dan merasakan suasana perlumbaan,' kata Cik Annie.

Ditanya tentang barangan F1 yang dibeli, Cik Yuli berkata: 'Saya tidak sokong mana-mana pasukan, mana yang cantik dan berkenan di hati, saya beli'.

Turut ghairah ialah pasangan suami isteri, Encik Hasziri Kasban, 30 tahun, dan Cik Kharyani Abdul Karim, 28 tahun, yang merupakan peminat setia pasukan Ferrari.

Lengkap dengan pakaian Ferrari mereka ditemui semasa sibuk mencari gerai makanan untuk membeli juadah berbuka.

'Walaupun sedang berpuasa, kami tidak mahu lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan di Singapura,' kata Cik Kharyani, yang sempat 'menyeludup' epok-epok meskipun makanan dan minuman tidak dibenarkan ke dalam kawasan litar.-
Cyberita

No comments:

Posting Terkini