Pages

Sunday, September 28, 2008

SINGAPURA DIJANGKA TERJERUMUS DALAM KEMELESETAN TEKNIKAL

SINGAPURA dijangka terjerumus dalam kemelesetan teknikal pada suku ketiga tahun ini buat pertama kali sejak 2002.

Ini setelah keluaran pengilangan Singapura menjunam 12.2 peratus bulan lalu, daripada Ogos tahun lalu, disebabkan kemerosotan biomedikal, menurut perangkaan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura semalam.

Para pengamat ditinjau Dow Jones meramalkan keluaran tersebut mencerut sebanyak 8.7 peratus.

Kemerosotan keluaran pengilangan itu bermakna Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) di Singapura dijangka mencerut bagi suku ketiga tahun ini dari Julai hingga bulan ini.

GDP sudah pun mencerut sebanyak 6.6 peratus pada suku kedua tahun ini.

Kemelesetan teknikal didefinisikan sebagai pencerutan ekonomi bagi dua suku tahunan berturut-turut.

'Kemerosotan sebanyak 12.2 peratus pada bulan lalu mengecewakan jangkaan pasaran dan mengesahkan kemelesetan teknikal pada suku ketiga tahun ini.

'Dengan pemulihan yang tidak dijangkakan pada keluaran pengilangan bulan ini, pertumbuhan GDP mungkin merosot sehingga 1 peratus berbanding setahun lalu atau 7.4 peratus berbanding suku kedua tahun ini,' kata Pakar Ekonomi Citibank, Encik Kit Wei Zheng.

Dengan krisis kewangan sejagat, beliau menjangkakan kelemahan pengilangan akan berterusan.

Selain pengilangan yang merosot, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) juga menyatakan matlamat bilangan pelancong ke Singapura sebanyak 10.8 juta dijangka tidak akan dicapai tahun ini setelah bilangan pelancong susut 7.7 peratus bulan lalu.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata Singapura tidak boleh menolak berlakunya kemelesetan kerana ketidaktentuan dalam pasaran kewangan sejagat.

Malah, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Lim Hng Kiang, berkata ekonomi Singapura mungkin merosot di bawah 4 peratus tahun ini.

Ramalan rasmi pertumbuhan ekonomi ialah 4-5 peratus tahun ini, setelah diturunkan daripada ramalan awal 4-6 peratus.

Perangkaan pengilangan terbaru EDB menunjukkan kesemua kelompok pengilangan merosot kecuali kejuruteraan pengangkutan, semua kelompok pengilangan yang lain merosot.

Paling buruk ialah pengilangan biomedikal yang menjunam sebanyak 33.8 peratus. Keluaran tersebut amat tidak menentu disebabkan perubahan kitaran pengilangan apabila kilang-kilang farmaseutikal yang menukar pengilangan satu ubat kepada ubat yang lain.

Keluaran elektronik, yang menyumbang 33 peratus daripada pengilangan keseluruhan di Singapura, terus menunjukkan kelemahan, dengan pencerutan sebanyak 7.1 peratus.

Para pengamat meramalkan Penguasa Kewangan Singapura dijangka melonggarkan dasar kewangannya pada bulan depan bagi memperlahankan kenaikan dolar Singapura berbanding sebakul mata wang rakan dagangnya.

Dengan inflasi mulai reda dan pertumbuhan lemah, UOB dalam notanya menyatakan 'bank pusat akan menukar dasar kewangannya yang ketat'.- Cyberita

No comments:

Posting Terkini